Kimanis, Barisan Nasional Diramal Menang 5,000 Majoriti? - MyRating

Kimanis, Barisan Nasional Diramal Menang 5,000 Majoriti?


"Sungguh terharu dan sebak apabila anak ini meluru ke arah saya dan memeluk erat bila dia lihat saya turun dari kereta tika bedudun di Kg Tuangak, Bongawan. Apa tidaknya saya sendiri jarang sekali bersama anak2 sepanjang tempoh kempen ini." begitulah nukilan ringkas Datuk Mohd Alamin di Facebooknya semalam. 

Anak calon Barisan Nasional ini belum mengerti apa lagi tentang politik. Barangkali rindu sangat dengan ayahnya sampai meluru dan terus memeluk ayahnya. Ramai lagi anak-anak petugas jentera pilihanraya di Kimanis yang belum faham kenapa ayah dan ibu mereka tiada sepanjang dua minggu ini. Anak-anak ini juga mahu meluru memeluk ayah dan ibu mereka. 

Sabarlah nak, masa berkempen hendak tamat dah tengah malam ini. Esok sudah hari pengundian. Ramai orang sudah meramal siapa menang dan siapa kalah. 

Semalam, Ilham Centre meramalkan parti Warisan akan menang 57% di PRK Kimanis. Kalau menang 57% daripada 29,664 pengundi, maka Warisan akan mendapat sejumlah 16,908 undi. 

Peningkatan undi yang besar untuk calon Warisan yang dulunya mendapat 11,786 undi, Peningkatan undi sebanyak 5,122 undi. Maka majoriti besar bagi Warisan jika kajian yang dibuat oleh Ilham Centre itu benar-benar terjadi. 

Ilham Centre menyatakan faktor Warisan sebagai lokal parti dan parti pemerintah akan membawa sejumlah 5,122 undi itu kepada Karim Bujang. Malah Ilham Centre menepis dengan menyatakan isu-isu nasional tidak berkesan di Kimanis. 

Setakat ini dalam beberapa siri PRK selepas PRU14, ramalan Ilham Centre kebiasaanya tepat dan tidak tersasar. Namun kali ini, situasi di Sabah amat berbeza, apakah sampel kajian itu boleh diguna pakai di Sabah?


Sementara itu, di pihak Barisan Nasional, Tok Mat tidak bersetuju dengan kajian yang dibuat yang mendakwa Warisan akan menang di Kimanis. Sudah pasti Tok Mat dan seluruh jentera BN di Kimanis ada pengiraan mereka sendiri. 

Jangan diperkecilkan kebolehan BN di Kimanis, biarpun mereka parti pembangkang namun sokongan daripada Anifah Aman kepada calon BN memberikan impak besar di sana. Ilham Centre menyatakan faktor Ariffin yang keluar UMNO dan masuk Bersatu yang akan membuatkan BN banyak hilang undi. 

Namun faktor Anifah sebenarnya lebih kuat dari Ariffin. Anifah sendiri banyak jasanya di Kimanis. Lebih-lebih lagi bila sudah dengar cakap-cakap di Kimanis yang pertembungan PRK itu sebenarnya bukannya antara BN dengan Warisan, tetapi sebenarnya adalah antara Musa dengan Shafie. 

Sejauh mana dakwaan itu benar tidak dapat dipastikan. Isu Pas Sementera Sabah, PSS hangat di mainkan di Kimanis dan ini menjadi faktor kuat kemarahan rakyat tempatan kepada parti kerajaan sedia ada. 


Dalam trend politik terkini, rakyat sebenarnya sudah ada "stand" dalam hati mereka untuk undi siapa. Isu dan sentimen yang sebelum ini menjadi pemboleh ubah sokongan mereka bukan lagi faktor utama. 

Jika orang itu sudah benci, marah dan sakit hati datanglah isu apa pun, datanglah ganjaran apa pun, ianya tidak akan memindahkan pegangan sokongan itu. Inilah yang berlaku di Cameron Highland, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai. Di keempat-empat PRK ini, BN menang. 



Situasi di Sabah mungkin berbeza tetapi kemarahan dan kebencian rakyat nampaknya sama seperti di Semenanjung. Rakyat yang akan menyokong boleh diukur pada ramainya orang yang hadir dalam sesuatu program dan ceramah. Ternyata kalau dikaji berdasarkan jumlah ini, maka BN boleh menang. 

Berapa banyak BN boleh menang, barangkali dalam 5,000 undi majoriti. Boleh ke? Mungkin lebih, siapa tahu seperti yang berlaku di Tanjung Piai. 

Apa sahaja boleh berlaku di malam terakhir dan esok pagi sebelum pengundian. Kita tunggulah esok, BN atau Warisan yang akan menang di Kimanis? Menang atau kalah, anak-anak sedang menanti mak ayah di rumah selepas itu. Peluklah mereka dengan seerat-eratnya bila pulang nanti. 


No comments:

Powered by Blogger.