Empat Wira Sebenar Di Sebalik Peperangan Melawan Covid19
Hari ini sudah 79 hari PKP dilaksanakan di Malaysia. PKP yang sudah pun memasuki fasa PKPB ini adalah di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang punca kuasanya adalah di tangan YB Menteri Kesihatan Malaysia.
Tiada kematian baru di Malaysia sejak 12 hari lepas. Hanya kekal dengan angka 115 kematian atau 1.44% daripada keseluruhan kes Covid19 di Malaysia. Manakala angka kes sembuh adalah 6,531 kes atau 81.94% daripada keseluruhan kes.
Kejayaan Malaysia menentang Covid19 ini adalah dibahu mereka yang menjadi jeneral jeneral perang di belakang tabir. Jeneral yang menyusun polisi dan dasar yang betul untuk perang melawan Covid19.
Mereka jarang keluar dalam televisyen, ada sekali dua tetapi tidak sepopular orang lain. Namun mereka berempat ini adalah wira-wira sebenar negara di belakang tabir iaitu :
1) Datuk Dr. Chen Chaw Min, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan,
2) Datuk Dr. Hj. Rohaizat Bin Hj. Yon, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan),
3) Dr Hishamshah Bin Mohd Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal)
4) Dr Norhayati binti Rusli, Pengarah Kawalan Penyakit.
Mereka berempat inilah yang banyak terlibat di sebalik tabir dan sentiasa bersama-sama dengan YB Menteri Kesihatan, Dato' Sri Dr Adham Baba setiap hari dalam mesyuarat harian untuk memerangi Covid19.
Awal pagi lagi mereka sudah berada di meja mesyuarat di Putrajaya bagi menentukan halatuju peperangan menentang Covid19 setiap hari.
Datuk Dr. Chen Chaw Min, Ketua Setiausaha (gambar duduk di sebelah Timbalan Menteri) adalah orang yang banyak menyelesaikan urusan perolehan di Kementerian ketika Covid19. Datuk Dr Chen akan memastikan ventilator dan barang barang PPE cukup ketika peperangan melawan Covid19 ini.
Bekalan ventilator, katil ICU dan barang barang PPE di Malaysia mencukupi. Tidak seperti di negara lain yang menghadapi krisis ini dengan peralatan yang tidak mencukupi. Terima kasih kepada Dr Chen, orang Perlis yang cukup berdedikasi dalam tugasnya.
Datuk Dr. Hj. Rohaizat Bin Hj. Yon, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), adalah orang yang banyak menyelesaikan masalah berkaitan hal perubatan dan hospital. Dr Haji Rohaizat (gambar di atas paling kiri) sedang memberikan analisanya dalam mesyuarat harian di bilik YB Menteri Kesihatan di aras 13, Putrajaya.
Dr Hishamshah Bin Mohd Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal) adalah seorang lagi jeneral yang berada di sebalik tabir peperangan melawan Covid19 ini.
Dr Hishamshah banyak membantu Kementerian Kesihatan dalam hal kesiap siagaan makmal dalam membendung Covid19. Selain itu Dr Hishamshah juga terlibat dalam bidang pembangunan dan penyelidikan.
Dr Hishamshah (gambar paling kanan di atas) bersama dengan YB Menteri Kesihatan dalam lawatan ke Institut Perubatan Molekul (UMBI) Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras untuk meninjau dengan lebih dekat Makmal Ujian Dianogstik COVID-19 (Viral RNA Extraction) bagi proses pengujian sampel COVID-19 yang dilakukan oleh pihak UMBI pada 4 April 2020.
Akhir sekali, orang yang cukup banyak menyumbang dalam soal kesiap siagaan menentang Covid19 ini adalah Dr Norhayati binti Rusli, Pengarah Kawalan Penyakit. Jika ada anugerah Tokoh Wanita Abad ini, gelaran itu harus diberikan kepada Dr Norhayati ini.
Dr Norhayati banyak menasihati daripada segi kaedah, pendekatan dan operasi saringan yang bertepatan untuk menghentikan penularan Covid19. Dr Norhayati (berbaju merah) dalam gambar di atas sedang membentang laporan harian kepada YB Menteri Kesihatan dalam rutin mesyuarat harian di Kementerian Kesihatan, Putrajaya.
Bertuah Malaysia kerana memiliki pasukan yang mantap yang diketuai oleh YB Menteri Kesihatan bersama-sama dengan empat orang jeneral perang ini untuk melawan Covid19. Ini kerja berpasukan bukannya kerja individu.
Semua data kejayaan yang Malaysia kecapi hari ini adalah hasil kerja keras mereka yang berada di belakang tabir ini yang bekerja tanpa rasa letih, lelah dan lesu sepanjang 79 hari tempoh PKP ini.
Semua data kejayaan yang Malaysia kecapi hari ini adalah hasil kerja keras mereka yang berada di belakang tabir ini yang bekerja tanpa rasa letih, lelah dan lesu sepanjang 79 hari tempoh PKP ini.
Lagi 5 hari, tempoh PKP ini akan berjalan. Moga musuh utama Covid19 ini akan terhapus dengan kerjasama baik daripada semua rakyat Malaysia. Ayuh kita putuskan rantaian Covid19 ini dengan memenuhi SOP yang telah ditetapkan.
Insyallah. #KitaMestiMenang.
No comments: