Kenali Siapa Sebenarnya Watak Toga Yang Diupah Penjajah Inggeris Melawan Tok Gajah - MyRating

Kenali Siapa Sebenarnya Watak Toga Yang Diupah Penjajah Inggeris Melawan Tok Gajah


Dalam filem Mat Kilau, watak Toga yang merupakan pembunuh upahan Inggeris telah dilakonkan oleh Yaya Ruhian. Itu dalam filem, apakah benar dalam sejarah Mat Kilau ada pembunuh upahan daripada negara seberang? Ya, memang ada tetapi namanya bukan Toga dan tidak pernah bertempur pun dengan Tok Gajah dan Mat Kilau. 

Namanya adalah Awang Kelana, pendekar daripada Acheh yang telah diupah oleh British untuk membunuh Tok Gajah. Ini kerana British telah kalah teruk dalam satu peperangan di Kuala Lipis di tangan Tok Gajah. Perang ini terjadi setelah British memfitnah Mat Kilau kononnya telah membunuh lima orang warga Cina yang datang ke Pulau Tawar untuk berniaga. 



Tok Gajah mengetahui bahawa Hugh Clifford telah menghantar sepasukan polis dan tentera ke Pulau Tawar untuk menangkap dan menghukum Mat Kilau. Peperangan pertama menentang penjajah itu berlaku di antara pasukan Tok Gajah dengan beberapa orang panglimanya iaitu Imam Perang Yusof, Tok Muda Ishak, Bilal Dris dan Mat Tahir menentang pasukan tentera Benggali Sikh dan 300 orang tentera bantuan Inggeris dari Selangor dan Perak. 

Akibat kalah dalam peperangan di Kuala Lipis ini, maka  Hugh Clifford berpendapat perlu mendapatkan seorang pendekar Melayu juga untuk menangkap Tok Gajah dan Mat Kilau. Hugh Clifford berpandangan pendekar Melayu itu sudah tentu sudah faham selok belok ilmu peperangan bangsanya sendiri. Bagaikan kata pepatah, menggunakan hulu kapak daripada pokok itu sendiri untuk menebang pokok. 

Awang Kelana dipilih oleh Hugh Clifford kerana pengalamannya ketika berkhidmat dengan kompeni Inggeris ketika peperangan yang berlaku di negeri Perak. Awang Kelana segera datang ke negeri Pahang diiringi oleh tentera - tentera Sikh. 



Setibanya di Pahang, Awang Kelana mendapati Tok Gajah mempunyai seorang isteri muda bernama Jamilah. Awang Kelana berhasrat untuk mendapatkan Jamilah sebagai hadiah jika berjaya melaksanakan misinya sebagaimana yang diupah oleh Inggeris. Awang Kelana menyimpan hasrat yang besar untuk memiliki Jamilah kerana beliau yakin dapat menumpaskan Tok Gajah. 

Awang Kelana mulai bercakap besar dan suka menunjuk-nunjuk kehandalannya kepada penduduk supaya dipandang megah dan dihormati. Awang Kelana terlalu yakin dapat kalahkan Tok Gajah dan pasukannya dengan mudah sekali. Tanpa disedari, kesombongan dan keangkuhan Awang Kelana ini telah tersebar dan menjadi dendam kepada rakyat di negeri Pahang. 



Sehingga ada yang menyimpan hasrat mahu menamatkan riwayat Awang Kelana jika mempunyai peluang. Awang Kelana tidak mengetahui yang Tok Gajah itu sangat kuat pengaruhnya terhadap rakyat negeri Pahang, terutamanya di Pulau Tawar dan jajahan sekitarnya. 

Pada suatu hari, penduduk di Kampung Sega mengetahui bahawa Awang Kelana akan datang ke kampung mereka. Lalu ada penduduk yang menyiapkan peluru dan senapang untuk membedil Awang Kelana. Sebaik sahaja Awang Kelana masuk ke Kampung Sega bersama dengan anak saudaranya, orang-orang di Kampung Sega terus membedil Awang Kelana. 

Awang Kelana rebah dan terus mati. Maka berakhirlah riwayat Awang Kelana yang bercakap besar hendak menumpaskan Tok Gajah dan Mat Kilau sebelum sempat bertempur secara bersemuka pun. Tidak seperti Toga yang sempat bertempur bersemuka dengan Mat Kilau dalam filem, watak Awang Kelana secara realitinya mati hanya di tangan orang kampung sahaja. 

Begitulah berakhirnya riwayat orang yang khianat pada bangsanya sendiri. Mungkin ada persamaanya watak Awang Kelana ini dengan Toga yang dilakonkan oleh Yaya Ruhian dalam filem Mat Kilau. 


No comments:

Powered by Blogger.