Imej Ulama Sedang Solat Di Bukit Keluang Besut - MyRating

Imej Ulama Sedang Solat Di Bukit Keluang Besut

 


Besut memang terkenal sebagai kawasan tempat menimba ilmu pengetahuan. Sampai ke hari ini, banyak pusat pengajian ilmu terdapat di daerah Besut Terengganu. Di hujung pantai Besut, ada sebuah bukit yang tersergam indah dikenali sebagai Bukit Keluang. Ada yang menceritakan bahawa Bukit Keluang ini adalah tempat singgahan Puteri Saadong selain ke Gunung Tebu dan Bukit Merak.

 

Ada pendapat menyatakan Bukit Keluang ini mendapat nama dari seorang pahlawan wanita bernama "Khu Foo Luan" yang berasal dari Thailand yang telah melarikan diri lalu berkampung di tempat itu. Ketika lanjut usianya, orang-orang Melayu memang sukar untuk menyebut namanya yang terlalu panjang, jadi alternatif paling mudah mereka memanggilnya "Kluang'.


Puteri Saadong

Pendapat tentang "Khu Foo Luan" itu tinggal sebagai cerita sahaja, tanpa ada sebarang kajian dan pembuktian selepasnya. Bukit Keluang ini ada  17 buah gua, namun gua yang paling tersohor hanya tiga buah terdiri dari Gua Datuk, Gua Jejawi dan Gua Ular. Ada yang hadir ke Bukit Keluang dengan niat yang tersendiri, mencari sesuatu. Namun jika yang dicari adalah untuk kemahsyuran diri, nama dan perkara-perkara yang tidak baik maka “sebaliknya” lah yang akan berlaku.

 

Kenapa tidak mencari ketenangan dan damai abadi untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT. Ciptaan Allah SWT ada asbab dan tujuannya, untuk mengajar manusia mendekatkan diri dengan pencipta alam itu sendiri. Tanah Besut adalah tanah alim ulama. Sejarahnya panjang. Malah Besut sendiri berasal dari nama “Al-Basuti”, yang merupakan gelaran seorang tokoh ulama' yang terkenal seawal pembukaan daerah Besut suatu ketika dahulu.

 

“Al Basuti” itu ialah datuk kepada bekas ahli parlimen Besut iaitu Datuk Seri Idris Jusoh. Nama lengkap Al Basuti iaitu datuknya ialah Abdul Hamid bin Fadhlullah al-Basuti al-Falimbani. Yang dimaksudkan dengan ‘al-Basuti’ ialah Besut di Terengganu. Yang dimaksudkan dengan ‘al-Falimbani’ bukan Palembang di Sumatera Selatan, Indonesia tetapi adalah sebuah kampung dalam Besut di Terengganu.

 

Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut asal usulnya juga berasal dari Patani, Thailand kerana pada masa dulu ramai ulama Besut dan raja-rajanya adalah berasal dari Patani. Antara ulama Besut yang berasal dari Patani ialah Syeikh Wan Hasan bin Syeikh Wan Ishaq al-Fathani. Beliau ini setelah berhijrah ke Besut dan dikenali dengan nama Syeikh Wan Hasan Besut.

 

Antara Raja Besut yang sangat erat hubungan dengan Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani dan lain-lain ialah Tengku Long. Beberapa pucuk surat-menyurat antara Tengku Long, Raja Besut, dengan kedua-dua ulama yang berasal dari Patani di Mekah itu boleh dijadikan bukti hubungan erat kekeluargaan antara Patani dengan Besut.

 

Bahkan nama ‘Besut’ itu sendiri diberikan oleh ulama yang berhijrah ke negeri itu. Selain surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani, dan Tengku Long, Raja Besut, rupa-rupanya dalam sebuah karya Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut, yang diberi judul Thariqah as-Salikin, beliau memperkukuhkan dan menyerlahkan hubungan kedua-dua negeri itu termasuk pertalian keilmuannya.

 

Berdasarkan tulisan Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut sendiri, dapat dipastikan beberapa orang guru beliau dan asal usul ilmu yang beliau peroleh. Mulai halaman kulit dua buah karyanya dan halaman-halaman lain beliau menyebut nama guru yang paling banyak mengajarnya ialah Tok Kelaba al-Fathani.

 

Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut menyebut nama Tok Kelaba secara lengkap, seperti tulis beliau, ‘Min Syaikhi Syaikhina Rahimahumallah Ta’ala dan dikehendaki dengan ‘Syaikhi’, iaitu Tuan Guru hamba yang alim, lagi warak, iaitu Tuan Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif bin Abdul Mu’min bin Abdus Shamad al-Kalantani tsumma al-Kalabawi tsumma as-Sauwi’.

 


Jika dilihat daripada atas menggunakan Google Maps, ramai yang tidak perasan imej Bukit Keluang adalah umpama seorang ulama sedang berdiri menunaikan solat. Berpakaian jubah dan ada serban di kepalanya. Apa pun, bagi yang mencari kebaikan dan kefahaman tentang agama serta alam, mereka akan diberi kefahaman oleh Allah SWT tentang apa yang mereka cari. Jika mencari sisi tidak baik, melenconglah kefahaman itu di ruang yang sebaliknya.

 

Memang sesuai sangat Besut digelar sebagai tanah orang berilmu dan berpendidikan. Negeri Terengganu sendiri terkenal dengan pahlawan dan ulama Melayu seperti Tok Ku Paloh dan Tok Abdul Rahman Limbong . Anak cucu yang ada sekarang perlu meneruskan dan mewarisi semangat, ilmu dan keperwiraan ulama dan pahlawan terdahulu agar Tanah Melayu ini terbela dan terus berdaulat. Ameen.




No comments:

Powered by Blogger.