Menurut Bulan Islam, Malaysia Merdeka Pada 5 Safar 1377 - MyRating

Menurut Bulan Islam, Malaysia Merdeka Pada 5 Safar 1377

 


Hari ini, 6 Safar 1446 hujan renyai-renyai membasahi bumi Lembah Klang, hujan rahmat. Ini kerana ramai tidak menyedari yang semalam (Sabtu, 5 Safar 1446) adalah tarikh kemerdekaan Malaysia jika mengikut bulan Islam.


Jika ikut bulan Islam, 31 Ogos 1957 jatuhnya adalah pada 5 Safar 1377, kalau ikut bulan Islam (1446 tolak 1377) jumlah tahun kemerdekaan Malaysia adalah 69 tahun Hijrah. Jika ikut tahun Masihi (2024 tolak 1957) bersamaan 67 tahun.


Tarikh kemerdekaan ini dipilih dengan teliti dengan pendapat dan nasihat daripada alim ulama. Sebelum Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Bapa Kemerdekaan Malaysia mengetuai rombongan ke London untuk berunding tentang tuntutan kemerdekaan dengan kerajaan Inggeris pada 1 Januari 1956, Tunku telah meminta nasihat daripada Allahyarham Syeikh Abdullah Fahim , Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika itu yang juga merupakan salah seorang tokoh di bidang ilmu falak.


Tunku Abdul Rahman beranggapan bahawa beliau perlu berjumpa dengan Syeikh Abdullah Fahim (datuk kepada YAB Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia ke 5) yang pada pendapatnya mempunyai firasat dan kashaf agar tarikh yang baik dapat dipilih bagi kemerdekaan Tanah Melayu.


Syeikh Abdullah Fahim menyebut dalam bahasa Arab: "am khir atana" (tahun baik datang kepada kita) bagi hari Sabtu, 31 Ogos 1957. Beliau berpesan supaya jika tarikh untuk pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu tidak pada 31 Ogos 1957, maka pada tahun-tahun berikutnya sebelum tahun 1962 adalah tidak baik bagi orang Melayu untuk mengisytiharkan kemerdekaan. Syeikh Abdullah Fahim meminta supaya menunggu hingga lima tahun lagi iaitu pada hari Jumaat, 31 Ogos 1962.


Bagaimanapun apa yang dikehendaki telah dimakbulkan oleh Allah SWT dan pada 20 Februari 1956, telah ditetapkan pada 31 Ogos 1957 dan diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka.



Menarik untuk diperkatakan mengenai tarikh kemerdekaan yang dipilih oleh Syeikh Abdullah Fahim. Menurut seorang guru dari Sekolah Agama Daeratul Ma'arif Al Wataniah (DMW) di Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang bahawa sejenis alat digelar astrolabe kepunyaan Syeikh Abdullah Fahim ada disimpan di bilik pengetua sekolah tersebut dan dikatakan bahawa Syeikh Abdullah Fahim biasa menggunakan alat astrolabe ini bagi menghitung pergerakan cakerawala terutamanya buruj-buruj bintang.


Mengambil kira hakikat ini atas ilham pemilihan tarikh kemerdekaan yang dibuat oleh Syeikh Abdullah Fahim, tentu ada sebab yang berpatutan yang mendorong tarikh 31 Ogos 1957 ini dipilih, istimewanya mungkin dari kedudukan buruj-buruj bintang yang boleh kelihatan pada waktu maghrib sempena detik kemerdekaan negara 1957.


alat Astrolabe

Pada malam kemerdekaan didapati empat buah buruj sedang berada di ufuk barat sejurus selepas terbenam matahari pada jam 7.19 malam, 30 Ogos 1957 bersamaan 4 Safar 1377 H, malam Sabtu. Buruj-buruj tersebut ialah Buruj Scorpius (Kala Jengking), Buruj Libra (Dacing), Buruj Virgo (Anak Dara) dan Buruj Kapal Layar (The Sail). Kelihatan juga dua buah planet yang sangat terang pada ketika itu iaitu Musytari (kecerahan 100 peratus) dan Zuhrah atau bintang Kejora dengan kecerahan 79 peratus berhampiran Buruj Kapal Layar. Bulan pula tepat berada di dalam Buruj Libra.


Apabila dua simulasi kedudukan malam yang berlainan bagi tarikh pilihan Syeikh Abdullah Fahim diperbandingkan iaitu bagi malam 31 Ogos 1957 dan 31 Ogos 1962 (29 Rabi'ul Awal 1382), adalah didapati jasad cakerawala berkedudukan serupa terutamanya bintang Kejora yang terang di ufuk barat pada waktu itu.

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Surah Ali-Imran. Ayat 190). Setiap kejadian alam itu adalah untuk kita berfikir dan merenungi kekuasaan Allah SWT, kenal dan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT Yang Maha Kuasa. Ini besar kemungkinan mengapa tarikh 5 Safar dipilih pada ketika itu.


Bersyukurlah kita sebagai orang Melayu dan umat Nabi Muhammad SAW, negara kita sekarang ini sudah menikmati kemerdekaan selama 69 tahun Hijrah, jika ikut tahun masihi sejumlah 67 tahun. Masih baharu lagi perjalanan kemerdekaan ini, belum pun berusia 100 tahun.


Ambillah ikthibar daripada kerajaan Melayu-Islam terdahulu yang lebih lama usia pemerintahannya, kenapa kejatuhan itu berlaku? Faktor utamanya bukannya 100% kerana kekuatan musuh tetapi ada pengkhianatan daripada bangsa dan rakyat itu sendiri.


Sejarah perlu dijadikan pengajaran dan diambil pelajaran agar sejarah yang tidak baik tidak berulang. Ayuh kita sebagai rakyat Malaysia cipta sejarah baharu yang lebih baik untuk negara ini, bersama kita semaikan semangat perpaduan berteraskan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan sebagai intipati utama jatidiri setiap rakyat di negara ini.


Merdeka !!!! Merdeka !!! Merdeka !!!!

 

 

No comments:

Powered by Blogger.