AI Tidak Akan Boleh Gantikan Posmen - MyRating

AI Tidak Akan Boleh Gantikan Posmen


KUALA LUMPUR: Tiada pekerja Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan diberhentikan walaupun syarikat itu akan mula mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatan.


Jaminan diberikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan menjelaskan, walaupun Pos Malaysia disaran mencari solusi terbaik untuk memastikan kemajuan perkhidmatan, tiada sesiapa daripada 18,000 pekerjanya perlu diberhentikan. 


"Hari ini, AI perlu dimanfaatkan Pos Malaysia untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul bukan sekadar menangani komen-komen di media sosial, tetapi perkara-perkara yang perlu dilaksanakan.


"Seperti mana kaedah sama digunakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang kini menggunakan AI untuk menyelesaikan isu aduan gangguan rangkaian.


"Namun begitu, posmen-posmen tidak perlu risau apabila Pos Malaysia menggunakan AI dalam perkhidmatan dan AI tidak akan menggantikan kerja anda untuk penghantaran.


"Penggunaan robot dan dron juga masih terlalu mahal untuk kita, jadi jangan risau. Pos Malaysia ada kira-kira 18,000 pekerja, saya tidak mahu seorang pun kehilangan kerja," katanya dalam ucapan perasmian Hari Pos Sedunia, di sini hari ini.


Beliau menegaskan, itu komitmen kerajaan untuk terus menyampaikan maklumat dan berintegrasi dengan teknologi yang ada.


Hadir sama Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching; Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Syed Faisal Albar dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Charles Brewer.


Pos Malaysia adalah pembekal eksklusif perkhidmatan mel di negara ini, dikorporatkan daripada Jabatan Perkhidmatan Pos Malaysia milik kerajaan pada 1990.


Pada sidang media kemudian, Fahmi menjelaskan, penggunaan AI tidak akan menggantikan manusia di Pos Malaysia, sebaliknya ia bertujuan memantapkan penggunaan tenaga kerja.


"Ia untuk menjadikan pekerjaan yang dilakukan itu lebih efisien dan pada masa sama meningkatkan mutu perkhidmatan. Jadi saya tidak lihat ada keperluan untuk membuang pekerja apabila Pos Malaysia memanfaatkan AI.


"Teknologi boleh disesuaikan dengan tindakan seperti menganalisis data. AI mampu buat beberapa perkara, khususnya dalam beberapa aspek pengurusan, l tetapi bukan dalam perkara berkaitan logistik.


"Kita tidak menjangkakan pekerjaan akan hilang, tapi mungkin skop pekerjaan akan berubah," katanya.


Sementara itu, Fahmi berkata, Akta Perkhidmatan Pos 2012 ( Akta 741) sedang dalam perancangan untuk dipinda dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah melantik perunding untuk tindakan seterusnya.


Katanya, pindaan itu perlu kerana banyak perkara sudah berubah sejak 2012 dan mungkin berubah dalam tempoh 10 tahun mendatang ini.


"MCMC sudah melantik satu badan penasihat atau penasihat untuk merunding dan meneliti kewajaran kerajaan meminda Akta Perkhidmatan POS 2012, sesuai dengan perubahan semasa.


"Ia masih lagi di peringkat awal, namun kita jangkakan ia akan ambil masa lebih kurang lapan hingga 12 bulan untuk laporan itu disiapkan. Paling awal jika pindaan berlaku adalah pada 2026," katanya.


Mengenai penggunaan kenderaan elektrik seperti dilakukan Pos Malaysia demi kelestarian alam, Fahmi berkata, beliau bersedia bertemu syarikat penghantaran dan kurier lain untuk mereka terbabit dalam komitmen berkenaan.

No comments:

Powered by Blogger.