Kemunculan Bintang Suraya Tanda Covid19 Terhapus?
BINTANG suraya menjadi sebutan ramai umat Islam ketika berhadapan COVID-19. Ini kerana ada hadis menyatakan sekiranya bintang itu kelihatan pada awal pagi, semua penyakit akan terangkat. Soalnya, apakah semudah itu ancaman wabak akan terhapus?
Bintang suraya atau Pleaides itu, turut dikenali bintang Subaru oleh orang Jepun ini, sekali gus gugusan bintang terletak dalam buruj Taurus. Ia turut dikenali sebagai 7 Sisters kerana terdapat tujuh bintang paling jelas kelihatan dalam gugusan berkenaan.
Jarak antara bumi dengan bintang suraya ialah sekitar 430 tahun. Sekiranya berada di kawasan gelap tanpa pencemaran cahaya, ia akan jelas kelihatan di langit malam. Menjejaknya di bandar mungkin satu cabaran tetapi sekiranya biasa mencerap bintang, tidak mustahil ia akan kelihatan pada malam gelap tanpa awan.
Dalam kitab falak Arab, indikator kebolehnampakan hilal atau anak bulan Ramadan dengan mata kasar dinyatakan berlaku sekiranya penduduk Semenanjung Arab boleh melihat suraya dengan mata kasar. Sekiranya tidak, kebiasaannya hilal akan sukar dicerap.
Inilah antara peranan ilmu bintang dalam falak. Dalam al-Quran, perkataan bintang disebut 13 kali dalam 12 surah, manakala dalam enam kitab hadis muktabar, kalimat bintang diulang melebihi 50 kali.
Umumnya, bintang di langit ialah tanda kebesaran Allah SWT yang bersifat dicerap (ayatullah al-manzurah).
Menurut Ibn Jarir al-Tabari, terdapat tiga fungsi bintang dalam kehidupan manusia berdasarkan al-Quran. Ia menjadi penghias langit, rejaman syaitan yang mengintai perkhabaran langit dan panduan arah perjalanan.
Bintang suraya amat penting dalam kehidupan tradisional orang Arab. Selain memberikan panduan arah, ia memberikan panduan kepada permulaan musim.
Sebagai contoh, sekiranya bintang suraya berada di tengah langit (zenith) pada waktu malam, ia petunjuk kemuncak musim sejuk. Sekiranya kelihatan mula terbit pada waktu Subuh, itu petunjuk tamatnya musim bunga dan permulaan musim panas.
Bintang suraya disebut dalam Sahih Bukhari. Zaid Thabit RA berkata, masyarakat semasa zaman Nabi SAW berjual beli buah-buahan, iaitu tamar). Apabila penjual menyediakan potong tamar dan pembeli menerima buah mereka, penjual akan berkata, buah kami rosak, diserang penyakit dan gugur sebelum masak.
Mereka berterusan mengadu masalah buah mereka. Maka Nabi SAW pun bersabda: "Janganlah kamu menjual buah hingga terbukti ia elok kerana banyak perselisihan sesama mereka."
Kharijah Ibnu Zaid menceritakan Zaid tidak menjual tamar daripada kebunnya hingga terbitnya suraya (musim panas) dan jelas ia bertukar warna kuning daripada merah (matang). (HR Bukhari)
Dalam hadis ini, Nabi SAW meminta peniaga tamar untuk menjual buah-buahan elok sahaja. Berdasarkan kearifan lokal orang Arab, tamar yang elok ialah buah dipetik semasa musim panas.
Buah dipetik awal, biasanya akan berpenyakit dan kurang berkualiti. Petanda kepada musim panas bagi orang Arab ialah apabila bintang suraya mula terbit di kaki langit timur pada waktu Subuh.
Dalam riwayat lain, Nabi SAW bersabda: "Sekiranya terbit bintang suraya, maka akan terangkatlah penyakit." (HR Ahmad)
Sebahagian ulama menyatakan hadis ini daif tetapi ada juga menyatakannya bertaraf hasan. Ini memandangkan banyak hadis sahih lain memberikan petujuk makna yang sama.
Tidak dinafikan ada riwayat menyatakan penyakit terangkat dalam hadis itu meliputi penyakit manusia, haiwan dan tumbuhan. Namun, apakah benar kefahaman terhadap hadis ini?
Sheikh Abdul Rahman al-Banna al-Sa'ati dalam kitab al-Fath al-Rabbani li Tartib Musnad al-Imam Ahmad, berkata apa dimaksudkan penyakit terangkat sebenarnya khusus kepada penyakit tumbuh-tumbuhan sahaja.
Dalam setahun, di Semenanjung Arab, terdapat 50 malam yang bintang suraya tidak kelihatan kerana kedudukannya hampir dengan matahari. Apabila matahari terbenam, suraya turut terbenam.
Ia sehinggalah suraya mula kelihatan, maka ketika itulah masuknya musim panas dan buah-buahan dituai biasanya akan bebas daripada penyakit.
Inilah adab umat Islam apabila berinteraksi dengan hadis Nabi, iaitu tidak menolak aspek kontekstual pada kefahaman sunnah.
Jangan lupa, terdapat banyak hadis mencela manusia bergantung kepada ilmu nujum. Dikhuatiri, umat Islam yang meletakkan harapan nampaknya bintang suraya pada awal pagi sebagai petanda kepada terangkatnya penyakit, termasuk dalam ilmu bintang tercela ini.
Di Malaysia, bintang suraya akan mula terbit di kaki langit timur pada awal pagi, mulai Jun. Maka, janganlah kita tersalah dalam memahami hadis suraya seterusnya memberikan harapan palsu kepada manusia.
Lebih membimbangkan, ia membawa imej buruk kepada agama. Bagaimanapun, mengenai jasad samawi yang kelihatan sekarang pada waktu Subuh hingga disangka bintang suraya, besar kemungkinan planet Musytari dan Marikh cerah.
Penulis ialah Ketua Program Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang
No comments: