Daerah Rembau Kembali Menjadi Zon Merah Covid19
KUALA LUMPUR: Daerah Rembau di Negeri Sembilan kembali diletakkan dalam Zon Merah selepas menyaksikan peningkatan kes COVID-19 mendadak, semalam.
Peningkatan itu berikutan satu kluster baharu membabitkan pekerja sebuah kilang di Pedas.
Rembau pernah diisytihar lokasi Zon Merah pertama yang bebas daripada wabak itu selepas mencatatkan sifar kes aktif pada 20 April lalu.
Bagaimanapun, menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), daerah berkenaan mencatatkan 59 kes positif COVID-19 setakat 12 tengah hari semalam.
Infografik CPRC yang dikongsi melalui media sosial rasmi Kementerian Kesihatan (KKM), jumlah keseluruhan Zon Merah di seluruh negara meningkat kepada 11 daerah.
Lokasi Zon Merah lain adalah Kuala Lumpur dengan 144 kes, Batu (101), Kuching (100), Gombak (80), Kampung Baru (67), Hulu Langat (55), Petaling (53), Kluang (49), Sri Petaling (45) dan Kota Samarahan (43).
Selain itu, jumlah keseluruhan Zon Hijau pula kekal 113 daerah.
Bilangan kumulatif kes positif seluruh negara semalam adalah 6,535 kes dengan 1,564 kes aktif.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, kluster Pedas yang dimaklumkannya pada 2 Mei lalu membabitkan pekerja kilang di Pedas, sudah menjangkiti 60 individu.
Beliau berkata, kluster itu mula dikesan apabila seorang kakitangan kilang itu didapati tidak sihat dan mula mengalami gejala demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit kepala pada 5 April lalu.
No comments: