Ada Diploma Tapi Jadi Posmen - Saya Tak Kisah, Saya Buat Kerja Halal
Kuala Lumpur: "Ramai juga yang mempersoalkan saya kerana bekerja sebagai posmen sedangkan ada diploma.
"Tapi saya tak hirau kata-kata negatif kerana apa lebih penting, kerja dibuat halal dan boleh bantu sara keluarga."
Itu kata-kata Mohamad Farhan Fizani Ahmad, 28, ketika menceritakan pengalamannya sepanjang tujuh tahun mencari rezeki sebagai posmen di sebuah syarikat kurier.
Terdahulu, kisah Mohamad Farhan Fizani yang menetap di Gombak, Selangor mendapat perhatian selepas berkongsi dua video menunggang motosikal melalui jalan sempit di belakang kawasan perumahan Persiaran Desa Rejang, dekat sini ketika menghantar surat ke rumah penerima.
Salah satu video perkongsiannya itu meraih lebih 1.5 juta tontonan dengan rata-rata memuji dan menghargai kerja dilakukannya. Kin dah sampai 2.6 juta dah view.
Menurut Mohamad Farhan, dia menyangka perkongsiannya di TikTok mendapat perhatian kerana sekadar berkongsi sebahagian rutin dilalui ketika bekerja.
"Saya muat naik untuk suka-suka saja, tiada niat nak tular pun, malah lagu diletakkan pun pilih secara rawak kerana tak tahu apa yang sesuai.
"Tak sangka pula selepas bangur tidur keesokannya, dapat banyak notifikasi di TikTok sampai kawan beritahu video saya sudah tular.
"Syukur kerana ramai hantar kiriman mesej beri sokongan dan mendoakan saya. Apa yang lihat dalam video itu rutin harian saya dan mulanya takut juga nak tunggang motosikal di situ tapi lama kelamaan sudah biasa," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Bercerita lanjut, Mohamad Farhan yang memiliki Diploma Pengurusan Pertanian lulusan Universiti Nilai berkata, selain jalan sempit, ada beberapa lagi cabaran dilalui sebagai posmen.
"Kena marah dan dikejar anjing itu biasa, malah pernah mintak tolong (akibat dikejar anjing) sampai lari nak masuk selamatkan diri dalam rumah orang.
"Awal kerja dulu, setiap hari fikir nak berhenti kerana kerja ini bukan senang, kena cari alamat dan berdepan karenah orang.
"Tapi lama kelamaan okey kerana di tempat kerja pun ramai lelaki jadi senang bergaul dan paling seronok apabila tengok reaksi penerima tertunggu barang dihantar dan hargai kerja saya lakukan selepas buat serahan kepada mereka," katanya yang juga anak bongsu daripada 10 beradik.
Selagi ada kudrat, Mohamad Farhan Fizani akan terus bekerja sebagai posmen, namun tidak menolak kemungkinan menyambung pengajian atau mengubah haluan kerjaya jika ada rezeki lain pada masa akan datang.
"Posmen pekerjaan pertama saya selepas tamat pengajian dan ikutkan, saya seorang saja dalam keluarga kerja dalam bidang kurier."Adik beradik lain ada yang kerja jururawat dan jurutera, namun saya percaya, rezeki setiap orang berbeza," katanya - Harian Metro
No comments: