Menteri Kesihatan Jelajah Enam Negeri Dalam Usaha Perangi Covid19 - MyRating

Menteri Kesihatan Jelajah Enam Negeri Dalam Usaha Perangi Covid19



Menteri Kesihatan bersama pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini telah menjelajah ke enam negeri bermula 28 Mei hingga 3 Jun 2020 untuk bertemu Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi memulakan kerjasama bagi program memperkasa komuniti ke arah meneruskan usaha menangani wabak COVID-19.

Program susulan di peringkat daerah itu akan melibatkan semua pihak berkuasa tempatan, agensi peringkat daerah, ketua masyarakat, sekolah dan rumah ibadah. 

Pendekatan utama KKM itu akan melibatkan komitmen masyarakat setempat di dalam mendidik, mencegah, mengasuh, pematuhan dan pemantauan amalan normal baharu dan Prosedur Operasi Standard (SOP) atau garis panduan.

Kerajaan Negeri yang sudah ditemui ialah Selangor, Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.

Bermula pada 28 Mei 2020, YB Menteri Kesihatan, Dato' Sri Dr Adham Baba telah berkunjung ke Selangor berjumpa dengan Menteri Besar Selangor, YAB Dato' Seri Amiruddin Shari di Shah Alam. Semua perbincangan adalah terarah kepada usaha untuk memerangi Covid19. 


Kemudian pada 30 Mei 2020, YB Menteri Kesihatan ke Masjid Tanah Melaka untuk bertemu dan berbincang mengenai isu Covid19 bersama dengan Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Sulaiman Md Ali. 


Hari ketiga, pada 31 Mei 2020, YB Menteri Kesihatan ke Johor bertemu dengan Menteri Besar Negeri Johor, YAB Datuk Ir Hasni Mohammad. Turut hadir adalah  YB Exco Kesihatan Negeri Johor, R. Vidyananthan. 

Pengarah Kesihatan Negeri Johor turut hadir bersama bagi membincangkan isu-isu semasa dan pasca COVID-19. Antara inti perbincangan adalah tentang proses membuka pintu sempadan Malaysia dan Singapura bagi membolehkan rakyat bekerja. 

Pada 1 Jun 2020, YB Menteri Kesihatan, Dato' Sri Dr Adham Baba dan pasukannya dari Kementerian Kesihatan Malaysia telah berkunjung ke Bilik Gerakan Negeri, Wisma Negeri bagi membincangkan beberapa isu berbangkit terutamanya berkaitan pandemik COVID-19.
Antara lain, perbincangan adalah berkaitan menangani penularan wabak COVID-19 di Negeri Sembilan. Selain itu, perbincangan turut menyentuh kerjasama Kerajaan Negeri dan Kementerian Kesihatan dalam penyesuaian norma baharu pasca PKPB.
Turut bersama di dalam sesi perbincangan tersebut adalah YB Teo Kok Seong, EXCO Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baru; YB Veerapan Superamaniam, EXCO Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri Sembilan.


Pada hari kelima iaitu pada 2 Jun 2020, YB Menteri Kesihatan, Dato' Sri Dr Adham Baba dan pasukannya dari Kementerian Kesihatan Malaysia seawal pagi lagi sudah bergerak ke Ipoh, Perak dari Putrajaya. 

Bertemu dan berbincang mengenai Covid19 bersama Kerajaan Negeri Perak yang diketuai oleh Menteri Besar Perak, YAB Tuan Ahmad Faizal bin Azumu di pejabatnya di Ipoh. 


Pada 3 Jun 2020, YB Menteri Kesihatan, Dato' Sri Dr Adham Baba berkunjung ke Pahang. Berbincang dengan Kerajaan Negeri Pahang yang diketuai oleh YAB Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Dalam pertemuan tersebut diadakan sesi taklimat pemerkasa komuniti dalam Program Pengurangan Risiko Penularan Jangkitan Covid-19 di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Sri Pahang.

Teruskan berjuang, YB Menteri Kesihatan dan seluruh warga kerja KKM. Insyallah #KitaAkanMenang

No comments:

Powered by Blogger.