Kerana Sivagangga, Habis Rosak Susu Sebelanga - MyRating

Kerana Sivagangga, Habis Rosak Susu Sebelanga



Rakyat diminta agar jangan leka dan jangan alpa, virus Covid-19 masih ada lagi di luar sana. Itulah pesan yang diulang berkali-kali kepada rakyat Malaysia. Bukan apa, bila kes sudah menurun ramai rakyat mula leka.


Setengah bulan yang lepas, Pusat Kuarantin di Maeps telah ditutup dan 60 kluster Covid-19 telah terhenti. Seminggu sebelum itu, pada 8 Julai 2020 kes penularan tempatan mencatat angka kosong dan kes aktif adalah di bawah angka 100 kes iaitu hanya 70 kes sahaja.


Ini satu perkembangan yang amat baik, berbanding negara-negara lain yang sedang bergelut dengan puluhan ribu kes sehari. Namun segalanya berubah bila ada orang yang memakai gelang pink tidak patuh pada arahan dan SOP yang ditetapkan.


13 hari lalu tular gambar seorang wanita yang pakai gelang pink makan di kedai makan. Kemudian ada seorang lagi juga di kedai makan Sungai Udang, Klang dan paling viral adalah mengenai kes kedai mamak di Napoh.


Pada 30 April 2020, Kedah menjadi negeri ketiga mendapat Zon Hijau selepas Perlis dan Kelantan. Kesemua 11 daerah di Kedah merekodkan sifar kes aktif tetapi bila ada orang tidak patuh SOP, segalanya bertukar jadi mimpi ngeri. 


Segalanya bertukar menjadi mimpi ngeri buat orang Kedah bila tauke kedai mamak yang baru balik dari Sivagangga, India (pakai gelang pink) melepak di kedainya pada 23 Julai lalu, maka wujudlah kluster baru iaitu Kluster Sivagangga.


Setakat 3 Ogos, 21 orang telah disahkan positif dari Kluster PUI Sivagangga. Kes indeks adalah pemilik kedai makan yang balik ke Malaysia dari India tetapi melanggar HSO. Akibatnya, 4 pekerjanya, seorang ahli keluarga terdekat dan tiga rakyat tempatan dijangkiti. Ahli keluarga dua rakyat tempatan itu juga telah disahkan positif.


Pengesanan kes aktif masih giat dijalankan dan dijangka bilangan yang positif terus bertambah. Kerajaan Kedah juga telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Peningkatan Sasaran melibatkan empat mukim dan empat sekolah diarah tutup serta merta bagi membendung penularan penyakit itu.


YB Menteri Kesihatan, Dato’ Sri Dr Adham Baba dalam rancangan bualan pagi bersama TV1 pada 3 Ogos 2020 menyatakan kepentingan penjarakan selamat supaya penularan Covid-19 dapat dibendung di negara ini.


Ketika ditanya tentang status Sivagangga, YB Menteri Kesihatan menyatakan Kluster Sivagangga ini melibatkan dua daerah iaitu Kubang Pasu dan Padang Terap.


“Ini merupakan PKPB, iaitu PKP Bersasar yang dilaksanakan di Kubang Pasu dan Padang Terap. Kita gelarkan sebagai Targeted MCO bukannya Enhance atau Diperketatkan. Jadi Targeted MCO ini melibatkan satu arahan di mana beberapa kaedah untuk mengelak penularan Covid-19 itu dilaksanakan.


Pihak berkuasa tempatan akan melaksanakan perintah Targeted MCO ini. Hanya seorang ketua isirumah yang dibenarkan keluar dari kediaman. Ada sekolah yang ditutup dan semua murid ini akan disaring”

No comments:

Powered by Blogger.