Seorang Lagi Pemain Beragama Islam Sertai Liverpool - MyRating

Seorang Lagi Pemain Beragama Islam Sertai Liverpool

 


Sesudah Mo Salah, Mane, Shaqiri dan Naby Keita kini Ibrahima Konate menjadi pemain beragama Islam ke-5 bersama dengan Liverpool di bawah kendalian Jurgen Klopp. 


Jurgen Klopp menambah pilihan di bahagian pertahanan tengah Liverpool dengan menandatangani pemain RB Leipzig, Ibrahima Konate dengan kontrak "jangka panjang", hari ini.


Pemain skuad bawah 21 (B-21) tahun Perancis itu akan bersaing merebut posisi pertahanan tengah selepas skuad Klopp berdepan krisis kecederaan di bahagian itu musim ini.


Liverpool mencetuskan klausa pelepasan £36 juta (RM210 juta) yang dilaporkan dalam kontrak Leipzig untuk pemain berusia 22 tahun itu bagi memuktamadkan perpindahan ke Anfield.


Perpindahan itu tertakluk kepada pelepasan antarabangsa dan permit kerja United Kingdom.



"Saya sangat gembira dapat menyertai kelab besar seperti Liverpool," kata Konate pada laman web Liverpool.


"Ia saat yang sangat indah bagi saya serta keluarga dan saya tidak sabar bertemu rakan sepasukan baharu, kakitangan dan memulakan episod baharu ini."


Konate pemain pertama yang ditandatangani Klopp menjelang musim depan dengan bos The Reds itu kelihatan mahu mengelak krisis pertahanan berulang lagi yang menjejaskan usaha mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris. 

No comments:

Powered by Blogger.