Kosong Kes Kematian Di United Kingdom - MyRating

Kosong Kes Kematian Di United Kingdom

 


Tiga hari lepas, kosong kes kematian dicatatkan di United Kingdom. Di UK, sejak pandemik COVID-19 bermula sejumlah 4.51 juta rakyatnya telah dijangkiti COVID-19. Manakala sejumlah 128,000 kematian telah dicatatkan di negara tersebut. 


Dengan angka sifar kes kematian yang dicatatkan itu, ianya memberikan pengharapan baharu buat semua rakyat di United Kingdom dalam misi melawan COVID-19 ini. Barangkali ada benarnya video yang dikongsikan oleh seorang rakyat Malaysia yang berada di London ketika ini tentang situasi semasa yang sedang berlaku di sana. 


Alangkah seronoknya melihat mereka menjalani kehidupan normal seperti ini. Saat yang semua rakyat Malaysia rindukan sekarang ini iaitu untuk balik kampung, pergi melancong dan bersiar-siar bersama keluarga. 



UK adalah negara pertama di dunia yang memulakan proses vaksinasi pada 8 Disember 2020, iaitu 7 bulan yang lalu. Sehingga kini sudah 66.7 juta dos vaksin telah diberikan kepada 39.3 juta populasi rakyatnya. Sejumlah 74.8% rakyat UK sudah menerima dos pertama lengkap manakala 48.5% telah menerima dua dos lengkap. 


Kes harian di sana masih dalam lingkungan 3,000 kes sehari. Di negara kita angka kes harian masih lagi sekitar 7,000 ke 8,000 kes sehari. Kematian pula masih dua angka, dan ada sekali cecah seratus orang lebih sehari. Jika kerajaan tidak laksanakan lockdown kali ini, sistem kesihatan negara kita akan lumpuh sepenuhnya pada hari ini, 5 Jun 2021. 



Sistem perkhidmatan kesihatan negara boleh lumpuh menjelang 5 Jun ini sekiranya sekatan pergerakan menyeluruh tidak dilakukan.

Menteri Kesihatan, Dato' Sri Dr Adham Baba, berkata ia unjuran situasi terburuk di Malaysia memandangkan kadar jangkitan harian semakin meruncing, mencecah 9,020 kes pada 29 Mei lalu.

Sehubungan itu, katanya, keputusan tuntas dengan mengumumkan perintah sekatan pergerakan menyeluruh perlu dibuat kerajaan bagi membendung risiko perkhidmatan kesihatan daripada lumpuh.

"Kita bentangkan pelan kontingensi dan pengurusan COVID-19 sejak awal Mei apabila kadar kebolehjangkitan atau Rt mula meningkat, sekitar 1.1 hingga 1.2.

"Oleh itu, kita cadangkan kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada 12 Mei lalu, bagi mengawal penularan jangkitan yang berpunca daripada 60 peratus kes sporadik dan 40 peratus kes berkaitan kluster.

"Pada 25 Mei, kita putuskan PKP dengan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan selepas melihat nilai Rt mengikut unjuran model kes sudah melepasi 1.2 dan semakin meningkat" ujar Dato' Sri Dr Adham Baba. 



15 April yang lalu, Dato' Sri Dr Adham Baba telah awal-awal lagi mengumumkan penangguhan rentas negeri balik raya ketika awal Ramadhan lagi. Ya, pengumuman ini membuatkan ramai yang hendak balik kampung kecewa namun sekiranya rentas negeri dan aktiviti balik Hari Raya Aidilfitiri dibenarkan baru-baru ini, bayangkan berapa angka kes harian COVID-19 pada hari ini?


Berapa ramai yang akan hilang orang tersayang? 

Biarpun larangan rentas negeri tidak dibenarkan, aktiviti ziarah menziarahi tidak dibolehkan masih ada lagi kluster hari raya terhasil. Dua minggu selepas sambutan Aidilfitri iaitu sehingga 25 Mei 2021, KKM merekodkan 12 kluster komuniti (sub-kluster hari raya) melibatkan tujuh buah negeri. Kluster itu melibatkan 470 kes Covid-19 daripada 2,541 individu yang disaring.

Terima kasih Dr Adham dan semua warga kerja KKM yang berpandangan jauh dan membuat pre emptive measure yang tepat untuk mengawal wabak di negara kita ini. Kita tidak mahu kejadian seperti di Itali dalam semasa PKP 1.0 dan situasi semasa di India berlaku di negara kita. 



Untuk menang melawan wabak ini kita mesti putuskan rantaian kes. Ianya tidak akan terputus jika kita masih degil. Tidak akan berlaku suasana indah di kota London seperti mana dalam video di atas. Hari ini, Malaysia sudah 100 hari terlibat dalam program vaksinasi. 

Sehingga 3 Jun 2021, sejumlah 3.3 juta orang telah mendapat sekurang-kurang satu dos vaksin. Semalam sejumlah 117,563 orang individu telah menerima vaksin. 

Percayalah pada langkah-langkah yang sedang dibuat oleh pakar-pakar kesihatan awam negara kita di Kementerian Kesihatan Malaysia. Mereka membuat sesuatu cadangan untuk diambil tindakan adalah untuk kebaikan bersama. Negara kita juga boleh jadi kosong kes kematian seperti di UK, kita sudah pun mencapainya selepas PKP 1.0 yang lalu. 

Rakyat Malaysia boleh melakukannya, pada bulan Jun, Julai dan Ogos ini program vaksinasi ini dijangkakan akan lebih rancak lagi di semua PPV di seluruh negara. Ayuh semua rakyat Malaysia, kita boleh menang melawan pandemik COVID-19 ini. #KitaMestiMenang


No comments:

Powered by Blogger.