Doktor Hospital Di UK Puji Cara Malaysia Tanggani COVID-19 - MyRating

Doktor Hospital Di UK Puji Cara Malaysia Tanggani COVID-19

 

Hari ini, kes COVID-19 turun lagi kepada 5,271 kes daripada 6,241 hari sebelumnya, 7,452 kes pada hari Sabtu dan 7,748 kes pada hari Jumaat dan 8,209 kes pada hari Khamis. Ya, alhamdulillah turun 3,000 kes berbanding empat hari yang lalu. 

Hari ini juga mencatatkan kes sembuh paling tinggi iaitu 7,548 orang iaitu menjadikan keseluruhan orang yang sudah sembuh adalah 85.9%. Angka-angka ini hadir tatkala Malaysia berada pada hari ketujuh PKP 3.0 sejak 1 Jun lepas. 

Ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia boleh melawan virus maut ini dengan baik jika patuh pada semua peraturan dan SOP yang telah ditetapkan. Maka, rantaian virus maut ini akan terputus. Namun perjuangan sebenarnya masih jauh lagi. Selagi virus maut ini masih ada di luar sana, jangan cepat alpa dan lupa. 


Hari ini juga langkah kesihatan awam yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan dalam memerangi COVID-19 ini telah mendapat pujian daripada seorang doktor yang bertugas di sebuah hospital di United Kingdom. 

Ini satu penghargaan buat semua petugas barisan hadapan KKM yang selama ini bertungkus-lumus melawan virus maut ini sejak lebih setahun yang lalu. Tahniah buat Dato' Sri Dr Adham, Menteri Kesihatan dan seluruh warga KKM, terbukti Malaysia sedang berada di landasan yang betul dalam melawan pandemik COVID-19 ini. 


Menurut Dr Nazri menyifatkan di UK tiada PKRC seperti mana di Malaysia. Pesakit di sana diminta kuarantin diri di rumah sahaja. 

Seorang doktor kelahiran Pulau Pinang yang bertugas di Royal Free Hospital, London memuji ketegasan Putrajaya dalam mengawal penularan pandemik Covid-19 walaupun berdepan cabaran politik daripada pihak blok pembangkang.

Dr Nazri Unni, 39, yang pulang ke tanahair bagi menghabiskan cuti rehat selama tiga minggu berkata pengalamannya merawat pesakit di London sejak Mac tahun lepas berbeza sama sekali dengan keadaan di Malaysia dengan menyifatkan langkah diambil kerajaan lebih teratur dan sistematik.

“Di United Kingdom, mereka merawat pesakit Covid-19 berbeza dengan disini. Tiada pusat berisiko rendah atau pusat kuarantin.


“Pesakit Covid-19 dengan simptom ringan diarah untuk kuarantin di rumah. Doktor terpaksa bergantung agar pesakit berdisiplin dan mengambil tindakan yang munasabah,” katanya dipetik portal The Star.

Dr Nazri yang juga pakar rawatan rapi itu turut kagum dengan pendekatan sekatan rentas daerah dan negeri yang dilaksanakan kerajaan, serta memujinya ia langkah paling berkesan untuk mengurangkan kadar jangkitan dalam masyarakat.

“Di UK hanya ada pemeriksaan bersasar dan sekatan jalan raya semasa musim tertentu atau semasa cuti umum,” katanya lagi.

Malah di UK, kawalan sempadan baharu sahaja dikuatkuasakan pada Februari tahun ini dan tiada sekatan jalan raya, hanya diberikan garis panduan dan nasihat sekatan.

Penggunaan aplikasi MySejahtera yang diperkenalkan kerajaan juga satu kaedah terbaik dalam mengenalpasti kontak rapat dengan cepat dan merawat pesakit dijangkiti Covid-19 dengan segera.

“Di UK Hanya ada perbincangan antara pesakit dan doktor untuk memeriksa ke mana pesakit pergi dan dengan siapa mereka berhubungan,” katanya lagi.

Beliau turut kagum dengan disiplin rakyat yang sentiasa menggunakan aplikasi tersebut setiap kali masuk ke tempat tertentu, berbeza dengan orang ramai di UK yang tidak mematuhi penggunaan aplikasi hampir sama yang diperkenalkan di UK baru-baru ini.


Bagaimanapun, Dr Nazri menggesa agar kerajaan melaksanakan program vaksinasi secara besar-besaran bagi membendung penularan Covid-19.

“Satu perkara yang kita boleh belajar dari UK adalah kadar vaksinasi yang sangat pantas disana.

“Mereka memberi vaksin kepada 400,000 orang sehari dan sekarang hampir 27 juta orang sudah menerima vaksin… iaitu 40 peratus daripada populasi,” ujarnya lagi.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menimbang untuk menambah bilangan sukarelawan di lapangan bagi meringankan bebas petugas barisan hadapan yang mungkin sudah keletihan ketika ini susulan jumlah pesakit yang semakin meningkat setiap hari.


No comments:

Powered by Blogger.