Kenali Haji Mat Lela, Sahabat Baik Mat Kilau Yang Tidak Gentar Melawan Askar Jepun - MyRating

Kenali Haji Mat Lela, Sahabat Baik Mat Kilau Yang Tidak Gentar Melawan Askar Jepun



Filem Mat Kilau telah meninggalkan impak dan fenomena yang besar terhadap seluruh rakyat Malaysia. Fenomena untuk berbusana Melayu, keinginan tinggi untuk belajar silat dan terasa ingin kenal lebih ramai lagi pahlawan-pahlawan Melayu ketika era penjajahan berlaku.

Mat Kilau adalah anak kepada Tok Gajah, tetapi jarang orang mendengar kisah Haji Mat Lela. Nama Mat Lela banyak digunakan oleh masyarakat Melayu dahulu. Namun, di negeri Pahang hanya ada dua orang yang mempunyai nama serupa yang memiliki ilmu kepahlawanan yang cukup tinggi. 

Salah seorang yang dimaksudkan adalah Mat Lela iaitu anak kepada Datuk Bahaman Orang Kaya Setia Perkasa Pahlawan Semantan. Seorang lagi yang tidak ramai mengenalinya ialah Haji Mat Lela bin Buang.


Siapakah beliau? Haji Mat Lela atau dikenali dengan panggilan Tok Janggut berasal dari Kg. Luit, Maran, Pahang. Ketika Sultan Ahmad Al Muazzam Shah iaitu Sultan Pahang yang pertama bersemayam di Pekan, Haji Mat Lela sudah tinggal di Kg. Merchong, Nenasi, Pekan.

Allahyarham Haji Mat Lela sebenarnya merupakan sahabat baik kepada Allahyarham Mat Kilau dan kedua-dua mereka adalah pahlawan Pahang. Walaupun mempunyai ilmu kepahlawanan sama handal dengan Mat Kilau, beliau lebih gemar berahsia dan tidak suka menonjol.


Sewaktu zaman penjajahan Jepun tahun 1941, orang-orang kampung semuanya lari ke hutan belantara bagi menyelamatkan diri masing-masing. Haji Mat Lela pula tidak gentar dengan kemasukan tentera Jepun dan menentangnya seorang diri.

Tiada rumah atau kedai yang berjaya diselongkar kerana pergerakan tentera Jepun sentiasa terhalang. Usahkan tangkap, melihat jasad Haji Mat Lela dengan mata kasar pun tidak dapat. Kerana merasa ganjil dengan kejadian itu dan ramai askar yang dicederakan, tentera Jepun akhirnya berundur.

Ada satu kisah dimana besi penghentak bagi kerja- kerja membina jambatan menghalang laluan penduduk kampung. Apabila disuarakan kepada kontraktor, kontraktor tersebut tidak menghiraukan dan menyuruh orang kampung untuk mengalihkannya sendiri.


Tercabar dengan kata-kata itu, Haji Mat Lela bangkit dan menguis besi yang hampir satu tan beratnya hanya dengan menggunakan kaki kanan! Begitulah kehebatan seorang tokoh yang sangat merendah diri walhal begitu perkasa.

Haji Mat Lela bin Buang juga seorang yang sangat kuat beribadah seperti solat sunat, membaca Al-Quran, dan sangat kurang makan kerana sering berpuasa sunat. Haji Mat Lela bin Buang adalah seorang individu hebat yang berwatakan tok guru, pawang, dan pendekar yang berasal dari Kampung Merchong, Pekan Pahang.


No comments:

Powered by Blogger.