Dulu Posmen, Kini Jadi Tauke Bas - MyRating

Dulu Posmen, Kini Jadi Tauke Bas



Menyaksikan dan merasai sendiri kepayahan mendapatkan tiket bas ekspres pada harga berpatutan menjadi titik tolak anak kelahiran Bachok, Kelantan ini tekad merubah senario itu.

 

Siapa sangka, dengan berbekalkan semangat dan usaha kerasnya, bekas penghantar surat mampu merealisasikan impiannya dan kini memiliki empayar perniagaan bas ekspres sendiri, Zaim Ekspres.

 

Ahmad Zaim Ghazali, 34, yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan, berkata pengalaman menggunakan pengangkutan bas ekspres ketika berulang alik dari ibu kota ke kampung halamannya di Kelantan membuatkan dia tekad membantu pengguna lain.

 

"Sukar sebenarnya untuk mendapatkan harga tiket yang murah selain pengguna kerap kali berdepan masalah kehabisan tiket dan harga tiket yang tidak menentu. Dari situ saya rasa terpanggil untuk cuba mengubah senario yang berlaku.

 

"Saya berusaha sejak 2012 lagi untuk mengusahakan perniagaan ini. Selepas tamat latihan amali, saya cuba untuk mendapatkan lesen namun gagal sehinggalah akhirnya berjaya mendapatkan lesen perniagaan bas ekspres pada 2018," katanya.

 


Menurutnya, bukan saja berdepan cabaran mendapatkan lesen, dia juga menemui kesukaran untuk mengumpul modal ketika itu bagi proses pembelian bas ekspres.

 

"Pada awalnya, saya cuba untuk membuat pinjaman bank namun gagal. Saya terpaksa mengumpul wang sendiri dan berjaya membeli sebuah bas terpakai secara tunai. Pada 2020, kami beroperasi hanya dengan menggunakan sebuah bas terpakai namun diselenggara dengan baik.

 

"Tidak terhenti di situ, saya diduga apabila negara dilanda Covid-19 dan bas ekspres tidak dapat beroperasi. Namun, saya tetap berusaha untuk menjaga dan mengekalkan perniagaan ini.

 

"Syukur pada 2022, saya mula mendapat kepercayaan bank dan menerima pinjaman RM2.33 juta dari SME Bank dan RM1 juta dari Bank Rakyat untuk proses pembelian bas ekspres. Jumlah pinjaman diterima juga kini semakin meningkat hasil kepercayaan diberikan bank," katanya.

 

Menurut Ahmad Zaim, atas peluang diterima, selepas berjuang selama 11 tahun dalam bidang itu, dia kini memiliki lapan bas ekspres.

 

"Untuk berada di tahap sekarang bukanlah satu perjalanan mudah. Satu persatu dugaan dan ujian datang namun saya sentiasa yakin dengan Allah dan berusaha sehabis baik. Selebihnya, keluarga dan rakan-rakan banyak memberi sokongan dan dorongan.

 

"Untuk sekarang, laluan perjalanan Zaim Ekspres adalah dari Klang, Shah Alam, Terminal Bas Selatan, Kota Bharu dan Rantau Panjang. Kami menyasarkan pengguna dalam kalangan pelajar universiti khususnya, selain individu yang berulang alik ke Kelantan atas urusan kerja atau perniagaan," katanya.

 

Menurutnya, pihaknya juga mengenakan harga tiket yang berpatutan dan sesuai dengan perkhidmatan yang diberikan.

 

"Kami merancang untuk melabur sebanyak RM20 juta untuk menambah lagi bas baharu dalam tempoh dua tahun akan datang dan RM50 juta dalam masa lima tahun.

 

"Bidang ini sememangnya memerlukan modal yang besar kerana kos untuk membeli sebuah bas ekspres baharu adalah lebih RM1 juta. Saya yakin apa yang saya usahakan selama ini mampu mencapai niat asal saya, khususnya dalam memberikan pilihan bas ekspres kepada pengguna dengan harga berpatutan," katanya.

No comments:

Powered by Blogger.