Kisah Posmen Yang Menjadi Inspirasi Seluruh Rakyat Malaysia
Artikel Asal : MalaysiaGazzete
KUALA LUMPUR – Nor Lisman Abu adalah ketua kampung Sungai Raya, Batu 9 Cheras dekat sini. Secara zahirnya tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai anak jati Selangor yang berusia lebih daripada separuh abad ini.
Namun tak ramai yang tahu, kira-kira 36 tahun lalu, beliau pernah mencatatkan sejarah tersendiri sewaktu bertugas sebagai posmen, karier di mana tempat beliau mencari rezeki selama berpuluh tahun lamanya.
Segalanya bermula pada tarikh 10 Ogos 1982.
Pada jam lebih kurang pukul 10 pagi, beliau telah menghidupkan enjin motorsikal Yamaha milik majikannya untuk menghantar surat termasuk surat berdaftar di sekitar Bukit Damansara.
Menurut Nor Lisman, surat berdaftar ibarat ‘nyawa’ kerana ia cukup berharga.
Pesanan pegawainya masih terngiang-ngiang dalam kepalanya iaitu seandainya hilang surat berdaftar ini, walaupun sepucuk, mereka (posmen) terpaksa ‘menghadap’ Jalan Bandar dan Jalan Pudu.
Jalan Bandar merujuk kepada balai polis manakala Jalan Pudu merujuk kepada penjara.
Ini kerana surat berdaftar mengandungi dokumen-dokumen penting seperti surat perjanjian malah ada pengirim yang memasukkan wang tunai sekali di dalam surat berdaftar berkenaan untuk dikirim pada penerimanya.
Berbalik kepada kawasan serahannya, Nor Lisman berkata, kawasan Bukit Damansara boleh dikatakan kawasan kediaman orang-orang kenamaan, VIP dan selebriti.
” Di sini ada rumah Ketua Setiausaha Negara (KSN), ada rumah rumah Ketua Setiausaha (KSU), rumah artis termasuk rumah Allahyarham Datuk Sudirman. Saya masih ingat alamat rumah beliau dan alamat rumah Allahyarham Azean Irdawaty, saya boleh ingat sampai sekarang alamat kediaman mereka,” katanya sambil tersenyum.
Menurut Nor Lisman, pada pagi hari 10 Ogos itu, hujan turun renyai-renyai hingga membuatkan permukaan jalan agak basah
Beliau menunggang motorsikal macam biasa.
Namun apabila sampai di satu selekoh iaitu dari Jalan Raja ke Jalan Parlimen, sebuah kereta di hadapannya berhenti secara tiba-tiba walaupun lampu isyarat masih lagi berwarna hijau.
Dalam keadaan kecemasan sebegitu, katanya, beliau terpaksa menekan brek sekuat-kuat hati untuk mengelakkan kereta tersebut hingga membuatkan beliau melambung daripada merempuh kenderaan berkenaan.
Katanya, kesan daripada kemalangan tersebut, beliau cedera parah di bahagian kepala.
” Masa tu walaupun dalam keadaan berdarah, kunci motorsikal saya ambil dulu, saya buka peti di motorsikal saya dan saya selamatkan surat berdaftar itu dulu. Sebab itu ada banyak kesan darah di sampul-sampul surat.Saya teringat seorang hamba Allah, tak silap saya orang Cina, dia menghantar saya sampai ke hospital dan seterusnya ke wad kecemasan,” ujarnya.
Apabila sampai di wad kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL), kata Nor Lisman, nak dijadikan cerita ada ramai wartawan dan jurugambar di kawasan berkenaan. Dalam benak hatinya, beliau merasakan yang kehadiran ramai petugas media di situ mungkin disebabkan mereka hendak membuat liputan seorang Sultan yang kebetulan sedang dirawat di hospital yang sama.
Tambah Nor Lisman, melihatkan keadaan dirinya yang berlumuran darah sambil memeluk berpuluh surat-surat berdaftar di atas pengusung, dirinya tiba-tiba menjadi perhatian para jurugambar di wad tersebut.
” Mereka berkerumun mengambil gambar saya, saya tanya dah kenapa ni? Bila mereka (wartawan) tanya saya pun jawab yang saya jatuh motorsikal di Jalan Parlimen tadi dan masa itulah mereka sibuk ambil gambar. Kebetulan pulak masa itu Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir baru melancarkan slogan ‘Bersih, Cekap, Amanah’.
” Keesokan harinya hampir kesemua akhbar menyiarkan kisah saya. Ia jadi berita utama. Rasa bangga ada, malu pun ada juga. Bangganya bila saya dapat mengharumkan nama jabatan perkhidmatan pos. Yang malu tu kerana muka saya di mana-mana saja ada di dalam akhbar. Saya rasa dekat dua minggu kisah tersebut dimainkan,” katanya sambil tersenyum.
Untuk rekod, disebabkan kuat memegang amanah majikannya, Nor Lisman masih enggan menyerahkan surat-surat berdaftar itu sebaliknya menyimpannya di bawah bantal sehinggalah Ketua Inspektor Pos, T. S Maniam menemuinya di wad sehari selepas kejadian.
Atas sifat amanah dan kejujuran yang dimilikinya, Menteri yang bertanggungjawab ke atas perhidmatan pos ketika itu, Datuk Leo Moggie telah meziarahinya di hospital. Lebih menarik lagi, kisahnya sampai ke pengetahuan Dr. Mahathir ketika itu yang kemudiannya telah mengirimkan surat penghargaan, sejambak bunga dan buah-buahan kepada Nor Lisman.
Malah Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Musa Hitam juga telah melahirkan penghargaan secara peribadi beliau kepada Nor Lisman.
Menurut Musa, beliau bangga dengan sikap dedikasi Nor Lisman dan mengharap kisah Nor Lisman akan menjadi contoh dan tauladan kepada kita semua selaras dengan ciri-ciri bersih, cekap dan amanah.
Nor Lisman yang menerima 14 jahitan di kepala dan melecur teruk di bahagian peha akibat ditimpa ekzos motor yang panas disebabkan kemalangan tersebut, menamatkan kariernya dengan Pos Malaysia kira-kira 10 tahun lepas dengan jawatan terakhirnya adalah pegawai latihan di syarikat berkenaan.
” Sebenarnya kerja posmen ni adalah kerja yang mulia. POS …Posmen Org Suka, Posmen Orang Sayang. Saya selalu kata, sebagai posmen, mereka jangan malu. Korang ni duta kecil Pos Malaysia. Kau bawa imej Pos Malaysia yang baik, orang akan puji tetapi kalau kita bawa imej yang buruk keluar, orang akan kutuk kita.
” Jangan malu, buatla kerja dengan ikhlas, amanah mesti ada. Kalau tak amanah, kau datang kerja balik kerja, cukup bulan dapat gaji, tak kemana pun,” pesan Nor Lisman.
No comments: