Beli Kereta, Rumah Atau Kahwin Dahulu? - MyRating

Beli Kereta, Rumah Atau Kahwin Dahulu?




Bila habis belajar di universiti, benda pertama yang mak, ayah dan keluarga sering tanya adalah bila hendak dapat kerja. “Dah minta ker kerja kat Jobstreet tu?”, soalan ini akan diulang ulang sampai lunyai ke telinga orang yang baru habis konvo.

Baru sahaja dapat bunga hari konvokesyen, esok hari sudah kena bawang dengan jiran jiran sebab asyik tanya “anak kau yang keluar universiti tu dah kerja ke belum?”, itulah lumrah bagi mereka yang baru keluar universiti.

Kerana tekanan jiran dan makcik makcik bawang, mak ayah pun tertekan. Mulalah anak rasa stress dan sebagainya. Namun kalau sudah dapat kerja, soalan yang lain pula akan datang. “Eh anak kau dah kerja berbulan bulan, takkan pakai motor je?”, soalan itu pula yang datang ke telinga dari makcik makcik bawang.

Maknanya, makcik makcik bawang ini mengukur kejayaan seseorang berdasarkan kereta apa yang dipakai bukan berdasarkan berapa nilai duit yang ada dalam bank. Padahal kereta yang dipakai itu, walaupun beli BMW atau Mercedez, tetap lagi kereta itu milik bank. Geran pun ada dengan bank.

Hendak buat bagaimana, itulah yang masyarakat bawang menilai pada orang muda yang baru bekerja. Kesian mereka. Kalau mahu melayan semua karenah mereka, poket memang bocorlah jawabnya.

Selepas membawang cakap tidak ada kereta dan hanya naik motorsikal sahaja, kalau anak lelaki akan ditanya pula soalan bila hendak kahwin. Lebih tertekan kalau anak gadis, keluar universiti sudah usianya 22 tahun, kalau baru bekerja setahun dua sudah ditanya ada calon suami ke belum.

Kalau lambat kahwin ditohmah pula katanya anak dara tua. Itulah pakar ekonomi makcik makcik bawang bercakap. Mereka hanya tahu menilai orang berdasarkan dah kerja ke belum, dah ada kereta ke belum  dan dah bernikah ke belum.

Kalau orang itu ada motorsikal, tetapi gajinya adalah RM2500 dan tinggal di kawasan luar bandar, apa patut dia buat? Hendak dengar ulasan makcik bawang atau dia tutup telinga dan buat perancangan yang bijak ikut kepala dia sendiri?

Kalau ikut makcik bawang, dengan gaji RM2500, kena pakai kurang kurang kereta MyVi, bulan bulan sudah kena bayar dalam RM500. Kemudian kahwin. Kalau baru setahun dua kerja, belum ada simpanan lagi dan terpaksalah kena buat pinjaman peribadi dari bank. Kena bayar lagi dalam RM500 untuk pinjam RM50,000.

Sudah komitmen jadi RM1000 sebulan untuk kereta dan pinjaman kahwin sahaja. Bila sudah kahwin, kena tinggal di rumah sendiri. Kalau tiada rumah, kena sewa rumah sendiri. Kena belanja lagi dalam RM500 untuk sewa rumah. Sudah perbelanjaan mencecah RM1500 sebulan.

Tinggal baki lagi RM1000 sahaja untuk bil elektrik, telefon, minyak kereta dan perbelanjaan harian. Kalau sudah ada anak, lagi banyak yang hendak dibelanjakan untuk barang barang baby seperti lampin, susu dan pakaiannya.

Jadi, walaupun bergaji RM2500 dan tinggal di luar bandar, tetapi dengan perancangan kewangan yang dibuat kerana nasihat pakar ekonomi makcik bawang, maka sengsara juga kehidupan keluarga yang baru berkahwin ini.



Apa kata pedulikan sahaja cakap cakap makcik bawang itu. Gaji RM2500, pakai sahaja motor yang bulan bulan baru bayar RM150 dan simpan RM500 untuk jangka masa lima tahun bagi Tabung Kahwin. Kalau menabung secara berdisiplin, maka selepas 12 bulan x 5 tahun = 60 bulan, jumlah itu akan menjadi RM500 x 60 = RM30,000.

Jadi kahwin tidak perlu lagi meminjam dari bank. Sudah cukup kalau kahwin dengan bajet RM30,000. Untuk hantaran, kalau letak RM10,000 pada zaman sekarang sudah kira mahal dan berbaloi dah. Lagi RM20,000 boleh buat belanja kenduri kahwin dan persiapan persiapan lain.

Mungkin ada lagi baki dalam RM5,000 ke RM8,000 untuk persiapan masuk ke rumah baru. Boleh beli tilam, katil, mesin basuh, peti ais, sofa dan televisyen. Kalau mamat yang motor EX5 ini hatinya lagi kental dan bijak, dalam masa 5 tahun itu dia boleh beli rumah terlebih dahulu.

Beli rumah di kawasan luar bandar baru dalam RM300,000 ke RM400,000, bulanan dalam RM1000 untuk dibelanjakan untuk duit rumah. Kalau beli rumah baru siap sahaja dua tahun, harganya sudah naik dan mungkin boleh buat untung RM100,000 ke RM150,000 seunit. Jadi dengan wang simpanan RM30,000 tambah lagi RM100,000 (untung jual rumah), kalau buat majlis kahwin pun rasa lega banyak.

Biarlah makcik bawang hendak cakap apa pun, paling utama kalau baru bekerja kena beli rumah dulu untuk pelaburan. Lepas lima tahun jual. Dengan wang RM130,000, bermacam macam boleh dilakukan. Silap silap boleh beli tanah lot rumah RM50,000 dan buat rumah sendiri lagi atas tanah tersebut.

Biarlah pakai kereta second hand buruk pun, janji bulan bulan tiada hutang dan duit banyak dalam poket. Makcik bawang yang mengumpat sana sini itu bukannya boleh tolong tambahkan duit kita, mereka hanya suka bergosip sahaja. Apa lagi mereka hendak membawang kalau umur 30 tahun sudah ada rumah sendiri dan hidup bahagia tanpa hutang bank.

Tulisan :
Haris Halim

No comments:

Powered by Blogger.