Dakwah Seorang Ulama Kepada Pelacur Hingga Mereka Datang Solat Subuh
Al-Alim Al-Allamah Al-Muhaddith Al-ArifBillah Al-Syam Sayyid As-Syeikh Badruddin Al-Hasani, seorang ulama besar Hadith sedang asyik membacakan serta mensyarahkan maksud hadis kepada para muridnya.
Tiba-tiba sang guru berhenti seketika lalu bertanyakan sesuatu yang membuatkan semua muridnya terpinga-pinga.
“Muridku sekalian, aku punya hajat yang sangat besar. Adakah sesiapa yang mampu menunaikan hajatku ini?”
Salah seorang murid kanan Syeikh menjawab dengan penuh adab, “ Hajat apakah wahai Tuan Guru? Khabarkanlah kepada kami, moga kami mampu untuk menunaikannya.”
Syeikh Badruddin menarik nafas dengan perlahan lalu berkata “Aku punya sedikit harta yang ingin aku sedekahkan, adakah sesiapa yang boleh membantuku mengagihkan harta ini?”
“Kami bersedia membantumu wahai Tuan Guru.” jawab Murid tersebut dengan bersemangat.
Lalu jawab Syeikh, “Hartaku ini akan aku sedekahkan kepada para pelacur yang berada di tempat sekian-sekian.”
Keadaan menjadi hingar bingar, masing-masing keliru dengan tujuan utama Tuan Guru yang terkenal alim dan soleh ini.
“Aku sudah jangkakan bahawa kamu semua tentu tidak akan mampu untuk melaksanakan hajatku ini. Kalau begitu tidak mengapa. Biarlah aku sendiri yang pergi menyampaikannya,” kata Syeikh Badruddin dengan tenang.
Para murid rasa bersalah di atas sikap yang mereka tunjukkan. Salah seorang murid kanan Syeikh Badruddin menawarkan dirinya untuk menyampaikan harta tersebut.
“Ketuklah setiap pintu rumah pelacuran tersebut dan ketika kamu menyampaikan sedekah ini katakan bahawa ini adalah sedekah daripadaku dan mohon mereka doakan aku semoga diberkati oleh Allah taala” pesan Syeikh kepada murid tersebut.
Maka sang murid ini terus memulakan tugasnya dengan penuh tanda tanya, mengapakah Tuan Guru ingin benar memberikan sedekah kepada golongan yang dianggap hina ini. Namun arahan Tuan Guru perlu dilaksanakan. Sang murid menutup mukanya dan terus masuk ke kawasan pelacuran tersebut.
Beliau mengetuk setiap pintu rumah pelacuran di kawasan itu dan menyampaikan apa yang dipesan oleh Tuan Guru kepadanya.
“Assalamualaikum, maafkan saya mengganggu, saya adalah utusan daripada Tuan Guru Syeikh Badruddin al Hasani ingin menyampaikan sedekah daripada beliau kepada kalian. Beliau berpesan agar mendoakan beliau semoga dirahmati oleh Allah taala.”
Terkejut para pelacur apabila mendengar nama Tuan Guru yang alim dan wara tersebut sudi memberikan sedekah kepada mereka. Setelah selesai tugasnya, sang murid terus beredar daripada kawasan hitam tersebut sambil menghelakan nafasnya.
Masing-masing ternanti-nanti apakah yang akan berlaku selanjutnya setelah peristiwa tersebut.
Keesokkan paginya , sesuatu yang mengejutkan telah berlaku. Seluruh bumi Syria gempar apabila keseluruhan pelacur yang ada di kawasan tersebut telah beramai-ramai datang menunaikan solat Subuh di Masjid Syeikh Badruddin. Mereka datang mendengar majlis pengajian daripada Tuan Guru tersebut dan bertaubat daripada segala dosa-dosa yang telah mereka lakukan.
Disimpulkan dalam naskah 50 Mutiara Nabawi, adakalanya golongan yang bergelumang dengan maksiat ini cuma perlukan sedikit sentuhan hati untuk mereka kembali ke jalan yang benar.
Justeru, usah sisihkan mereka kerana jauh di sudut hati mereka juga mahukan pengakhiran yang baik.
Wallahu'alam
No comments: