Posmen Ni Tak Naik Motor, Mereka Tunggang Kuda Macam Dalam Filem - MyRating

Posmen Ni Tak Naik Motor, Mereka Tunggang Kuda Macam Dalam Filem


Di Sabah, posmen di sana tidak naik motorsikal, mereka tunggang kuda macam dalam filem koboi. Betul ke? Ya betul, mungkin itu sesuatu yang pelik bagi mereka yang sudah biasa mengenali Posmen yang membawa motorsikal dan ada kotak surat di belakang motor. 



Namun di Kampung Siasai, Kota Belud, Sabah, posmen di sana menaiki kuda dan membawa beg yang berisi surat untuk disampaikan kepada alamat penerima. Itulah tugas yang digalas oleh Sabiting bin Suaip, seorang Posmen Komuniti di Kota Belud Sabah. 


Berkuda adalah cara perhubungan utama di Kota Belud, Sabah. Sudah menjadi tradisi orang di situ membela dan menunggang kuda. 

"Bila saya jadi Posmen Komuniti, saya rasa elok juga saya hantar surat menggunakan kuda. Tugas Posmen Komuniti penting kepada saya sebablah itulah saya ingin jadi Posmen Komuniti. Saya rasa itu tanggungjawab saya pada masyarakat" kata Sabiting.







Bukan Sabiting seorang sahaja, terdapat 225 orang Posmen Komuniti yang berkhidmat di Sabah. Kini jumlah mereka semakin meningkat.  Mereka ini bertugas untuk menghantar surat kepada lebih 1,000 buah kampung di Sabah. 

Posmen Komuniti ini dipilih oleh pengurusan Pos Malaysia dan atas kehendak mereka sendiri. Posmen Komuniti ini menerima elaun bulanan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) berjumlah RM500. 

Posmen Komuniti ini adalah sebahagian daripada usaha Pos Malaysia dengan MCMC sejak tahun 2010 lagi untuk memastikan segenap masyarakat di pedalaman mendapat akses kepada perkhidmatan pos dengan lebih efisien lagi. 

Hasil daripada usaha itu, kadar liputan serahan di Sabah dan Sarawak masing-masing telah meningkat sebanyak 15 peratus dan 27 peratus. 

Salute semua abam-abam Posmen. Selamat menunaikan tugas demi tugas dan tanggungjawab kepada masyarakat. Naik kuda atau naik motor, tugasnya tetap sama, menyampaikan amanah kepada rakyat. 


No comments:

Powered by Blogger.