Ustaz Ini Ceritakan Amalan Mulia Abam Bocey, Pak Yus & Mr Os - MyRating

Ustaz Ini Ceritakan Amalan Mulia Abam Bocey, Pak Yus & Mr Os



Pada 30 November 2015, Pak Yus Jambu meninggal dunia dan jenazahnya diuruskan di Hospital Selayang. Begitu juga pada 5 April 2016, industri seni negara kehilangan Mr Os, pelawak lejen yang meninggal dunia dan jenazahnya juga diuruskan di Hospital Selayang. 
Begitu juga dengan arwah Abam Bocey yang diuruskan di Hospital Selayang sebelum ribuan orang ramai menyertai solat jenazahnya di Masjid Gombak Utara.
Seorang penceramah bebas ini menceritakan pengalamannya solat jenazah dan menguruskan ketiga-tiga arwah ini iaitu Abam, Mr Os dan Pak Yus Jambu. 


Seorang penceramah bebas Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek turut menceritakan kebaikan arwah Abam yang ketika hayatnya suka bersedekah, mendekati ilmuan agama dan taat kepada ibunya.
“Banyak pengajaran dapat diambil daripada kematian tiga pelawak terkenal tanah air iaitu arwah Abam, Mr Os dan Pak Yus.
“Ketiga-tiga mereka adalah pelawak tetapi ada kebaikan mereka disembunyikan ketika hayat yang ramai orang tidak tahu.
“Sempat juga beberapa tahun lepas saya solat jenazah untuk arwah Mr Os, saya menguruskan jenazah dia sangat mudah dan begitu juga arwah Pak Yus kerana mereka ini suka bersedekah.
“Sedekah adalah jalan paling mudah ke syurga asalkan ikhlas kerana Allah.
“Ini kerana sebelum sedekah sampai kepada penerima, sedekah itu sampai dulu kepada Allah, itulah ‘power’ bersedekah dan apa yang berlaku kepada arwah Abam adalah dia juga suka bersedekah,” katanya.



Pengerusi Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia Muhammad Rafieudin Zainal Rasid berkata, sepanjang menguruskan jenazah arwah Abam, banyak kisah kebaikan yang didengari mengenai arwah.
“Arwah Abam dikatakan anak yang cukup taat pada ibunya dan selalu bantu adiknya.
“Lautan manusia memenuhi segenap penjuru Masjid Gombak Utara sedangkan Abam Bocey bukan seorang ulama atau tokoh politik disegani ramai.
"Arwah hanyalah seorang penghibur yang berjaya mendapat tempat di hati kita semua.
“Paling mengharukan di sebelah rumah arwah, ada sebuah madrasah tahfiz dan arwah dikatakan antara penyumbang tegar madrasah dan masjid di situ.
"Ketika saya mewudukkan jenazah arwah, kelihatan seri di wajahnya. Allahuakbar. Sungguh hebat insan 'biasa-biasa' ini," katanya.
Menurutnya, solat jenazah Abam juga dihadiri ramai ulama dan asatizah serta sepanjang hari cuaca mendung sejak pagi seolah hari hendak hujan dan mentari tidak menampakkan cahayanya.

No comments:

Powered by Blogger.