Pos Malaysia Nafi Kakitangannya Sebar Virus Covid19
KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) menafikan dakwaan kononnya kakitangan syarikat itu dijangkiti COVID-19 dan menyebarkannya melalui surat atau bungkusan yang dihantar kepada pelanggan.
Dakwaan itu disebarkan menerusi satu rakaman audio yang di media sosial.
Pos Malaysia menerusi status dimuat naik di Facebook rasminya menjelaskan tuduhan terbabit adalah fitnah dan berniat jahat.
“Satu lagi berita tidak benar mengenai COVID-19 tersebar. Elakkan berkongsi maklumat yang tidak sahih. Pastikan kebenarannya terlebih dahulu.
“Kami memohon kerjasama orang ramai supaya tidak menjadikan sumber tidak sahih di media sosial sebagai rujukan. Segala maklumat terkini boleh didapati di semua platform media sosial rasmi Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Pos Malaysia juga sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung perkara itu.
Dalam pada itu, KKM turut menafikan rakaman audio terbabit kononnya ia adalah klip audio yang dibuat oleh bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Christopher Lee.
“Tular di WhatsApp penyebaran ‘voice message’ yang kononnya dihantar oleh Datuk Dr Christopher Lee. Untuk makluman, mesej ini adalah palsu,” menurut status yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi kementerian itu. - Sumber Berita Harian, 28 Mac 2020
No comments: