Dr Adham Segera Bergegas Ke Tempat Kebakaran Di Hospital Sultanah Aminah - MyRating

Dr Adham Segera Bergegas Ke Tempat Kebakaran Di Hospital Sultanah Aminah



"Saya segera bergegas ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru sebaik sahaja mendapat berita kebakaran yang menimpa Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Saya juga berkesempatan menziarahi pesakit di wad yang berkenaan serta kakitangan yang bertugas.

Turut bersama saya ialah YB Tuan Vidyananthan a/l Ramanadhan, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Dr Aman Bin Rabu, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Hj Yahaya Bin Haji Madis, Pengarah Bomba Johor dan Dr Mohtar Pugut" demikian coretan Datuk Seri Dr Adham Baba di Facebook berhubung kejadian kebakaran di Hospital Sultanah Aminah hari ini. 


Tindakan pantas kakitangan Wad Perubatan Perempuan Satu, Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, berjaya menyelamatkan 24 pesakit dalam kejadian kebakaran membabitkan wad terbabit, hari ini.

Kakitangan terbabit berjaya mengawal api sebelum dipadamkan sepenuhnya oleh anggota bomba yang tiba lima minit kemudian.




Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran yang berlaku kira-kira jam 3 petang.

"Ia hanya kebakaran kecil dan pesakit berjaya dipindahkan kakitangan wad.

"Memandangkan terdapat bangunan baharu dan lama di HSA, kami akan melakukan pemeriksaan dan siasatan bagi memperbaiki jika terdapat sebarang kelemahan," katanya ketika ditemui di HSA, hari ini.





Dr Adham sebelum itu memeriksa tempat kejadian dan turut diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Datuk Yahaya Madis.

Menurutnya, keseluruhan kompleks itu menempatkan 52 pesakit manakala bangunan yang terjejas dalam kebakaran itu mempunyai 24 pesakit.

Katanya, kesemua 24 pesakit itu kini ditempatkan di beberapa wad di HSA dan Hospital Permai. Menurutnya, hanya bangunan menempatkan 24 pesakit yang terbakar itu ditutup sementara siasatan dijalankan sehingga dibenar digunakan semula oleh bomba dan Jabatan Kerja Raya.

Keluarga pesakit juga diminta menghubungi HSA bagi mengetahui penempatan semula ahli keluarga mereka selepas dipindahkan dari wad berkenaan. 

Terima kasih kepada anggota bomba dan semua anggota keselamatan yang bertindak pantas menyelamatkan keadaan di Hospital Sultanah Aminah.

No comments:

Powered by Blogger.