Liverpool Jadi Juara EPL Yang Penuh Bergaya Sekali - MyRating

Liverpool Jadi Juara EPL Yang Penuh Bergaya Sekali



Liverpool disahkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) ataupun Premier League buat kali pertama apabila pesaing di tangga kedua, Manchester City tumpas kepada Chelsea awal pagi Jumaat.

Kekalahan itu menyebabkan City tidak lagi mampu memintas Liverpool dari segi kutipan mata daripada baki tujuh perlawanan musim ini.

Namun penyokong Liverpool terpaksa menungggu 30 tahun untuk the Reds menjuarai gelaran liga utama Inggeris.

Penantian mungkin terlalu lama tetapi ia dilakukan dengan penuh gaya, bersejarah dan pencapaian Liverpool untuk dua musim kebelakangan ini sangat menakjubkan dan luar biasa sekali.

Ia berjaya dilakukan ketika dunia sedang memerangi pandemik COVID-19 dan membuktikan pandemik bukan penghalang.


Liverpool mengesahkan kejuaraan lebih awal, iaitu baki tujuh perlawanan, mengatasi pencapaian juara 2000/01, Manchester United dan Manchester City pada 2017/18, yang muncul juara dengan baki lima perlawanan.

The Reds juga pasukan EPL pertama yang berjaya menewaskan setiap pasukan yang bersaing dalam liga, selepas menewaskan West Ham 2-0 pada penghujung Januari 2020.

Kejayaan ini juga jurang terbesar pernah dicatat oleh mana-mana pasukan dalam EPL, apabila muncul juara dengan 23 mata di hadapan pencabar terdekat, mengatasi rekod United sebelum ini, 19 mata.

Dalam 31 perlawanan yang sudah dimainkan, Liverpool hanya tewas sekali, seri dua kali, lebih menarik, selepas seri dengan United pada Oktober 2019, the Reds melakar 18 kemenangan berturut-turut untuk menyamai rekod yang dicipta City pada 2017/18.

Walaupun dilihat gagal menjuarai liga dalam tempoh 30 tahun, usaha sebenar Liverpool untuk kembali ke takhta EPL hanya bermula apabila konsortium Amerika Syarikat, New England Sports Ventures (kini dikenali sebagai Fenway Sports Group) mengambil alih Liverpool pada 2010.

Liverpool mencatat perbelajaan bersih sebanyak £297 juta sepanjang 10 tahun di bawah Fenway ataupun FSG dan jumlah tersebut jauh lebih kecil berbanding Arsenal, £413 juta, Chelsea £422 juta, Manchester United, #847 juta dan £1.1 bilion untuk Manchester City.

Dalam senarai itu, hanya dua pasukan berada dalam senarai empat pasukan terbaik di EPL, Chelsea dan City musim ini.

Kalau kita lihat pula dalam tempoh 30 tahun yang lalu, Liverpool membelanjakan £1.47 bilion untuk membeli 239 pemain, tetapi meraih £936.6 juta daripada penjualan pemain.

Secara keseluruhan Liverpool hanya mengeluarkan sebanyak £533 juta untuk pemain baharu. Jumlah tersebut kurang daripada £100 juta yang ditanggung oleh musuh tradisi mereka, Manchester United.

Kini pasukan bimbingan Jurgen Klopp ini hanya memerlukan 15 mata daripada 21 mata yang ada untuk memecah rekod kutipan 100 mata yang dibuat City pada 2018 dan mungkin menjadi pasukan EPL pertama yang memenangi kesemua perlawanan di laman sendiri.

Liverpool hanya terlepas peluang untuk menyamai rekod Arsenal yang tidak mencatat sebarang kekalahan dalam satu musim, iaitu pada 2003/04 - Reuters



No comments:

Powered by Blogger.