Berhabis Puluhan Ribu Kerana Minatnya Pada Basikal Posmen - MyRating

Berhabis Puluhan Ribu Kerana Minatnya Pada Basikal Posmen


SEREMBAN: “Artifak berkaitan Pos Malaysia adalah sebahagian daripada sejarah dan khazanah negara yang perlu kita pelihara,” kata peminat barangan lama, Mohd. Ariff Bidin.

Mohd. Ariff, 39, berkata, kerana minat yang mendalam, dia sanggup menghabiskan ribuan ringgit membeli pelbagai barangan berkaitan Pos Malaysia seperti basikal posmen, topi, uniform, lencana dan butang.

Menurutnya, mengumpul barangan lama seperti itu memberikannya kepuasan tersendiri selain dapat menyimpan secebis sejarah negara.

Dia kini memiliki lima buah basikal posmen yang dikeluarkan pada tahun 1960-an oleh syarikat Raleigh, Phillips dari England dan ada yang dikeluarkan khas oleh Pos Malaysia sendiri atau sebelum ini dikenali sebagai Jabatan Perkhidmatan Pos Malaysia.

“Kebanyakan basikal ini saya beli pada harga RM1,000 hingga RM2,000 sebelum membelanjakan sejumlah wang lagi untuk proses baik pulih dan membeli alat ganti asli.

“Paling saya tidak pernah lupa iaitu pada 1994 apabila menemukan rangka basikal posmen ini yang dibuang di dalam tong sampah sebelum saya baik pulih supaya kembali kepada keadaan asal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Ampangan, di sini semalam.

Menurut Mohd. Ariff , basikal posmen ini sangat unik dan mempunyai nilai sejarah yang tinggi sehingga ia dijual pada harga RM3,000 hingga RM6,000 sebuah bergantung kepada keadaannya.

Dia yang juga ahli Kelab Basikal Tuo Soghomban berkata, antara cabaran membaik pulih basikal lama berkenaan adalah mendapatkan alat ganti asli kerana kebanyakan alat ganti seperti tayar sudah tidak dikeluarkan.

“Banyak alat ganti saya beli dari ahli kelab basikal tua di seluruh negara dan sebahagian lagi terpaksa saya beli di luar negara seperti Indonesia serta England sendiri.

“Kebanyakan basikal ini saya biarkan dalam keadaan asal termasuk catnya dan hanya ditunggang ketika menyertai acara kayuhan yang dianjurkan di seluruh negara,” jelasnya.

Selain basikal posmen, Mohd Ariff juga memiliki koleksi 45 buah lagi basikal tua yang dikeluarkan dari syarikat basikal dari England, Jerman, Belanda dan Itali.

Katanya, semua basikal berkenaan berada dalam keadaan baik dan boleh ditunggang.

Sementara itu, jelasnya, sempena Hari Pos Sedunia yang disambut pada setiap 9 Oktober di seluruh dunia termasuk di Malaysia, dia juga memberitahu tidak keberatan selepas sekiranya dijemput pihak Pos Malaysia untuk memeriahkan acara sambutan bersama koleksi yang dimilikinya itu. – 

Sumber : UTUSAN ONLINE

No comments:

Powered by Blogger.