Perlukan PKP Untuk Terus Hidup - MyRating

Perlukan PKP Untuk Terus Hidup

 


Persoalannya sekarang adalah antara hidup dan mati. Perlukan kita tunggu katil di hospital penuh untuk membuat tindakan drastik? Perlukah kita tunggu sampai tahap memilih siapa perlu hidup dan mati sebelum membuat lockdown atau PKP?


Jangan tunggu sampai perkara tersebut berlaku. Sesuatu perlu dilakukan sekarang sebelum keadaan yang lebih buruk terjadi. Dulu masa PKP 1.0, semua rakyat Malaysia yang mendesak adakan PKP sebab tidak mahu keadaan seperti Itali berlaku di negara kita. Kini, ramai juga yang mahu PKP diadakan sebab tidak mahu keadaan buruk seperti di India terjadi negara ini.

 

Jumlah kes jangkitan yang menghampiri 5,000 sehari amat mengerikan. Kematian pula lebih 40 orang setiap hari. Kes boleh merebak di kalangan orang ramai tanpa diketahui punca dan asal lokasinya (terma sains kesihatannya sporadic). Beberapa minggu yang lalu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan, satu Kluster telah di kenal pasti di Sungai Sumun, Bagan Datuk, Perak.

 

Menurut data yang dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), kluster di Bagan Datuk itu melibatkan ahli keluarga dan masyarakat tempatan yang hadir menguruskan satu kematian. Diberitakan, ahli keluarga dari Kuala Lumpur adalah antara pembawa virus COVID-19 pulang ke Kampung Sungai Sumun di Bagan Datuk.

 

Akhirnya, setakat 17 Mei lalu, 21 kes baharu telah dikenalpasti dengan 106 orang telah disahkan positif berpunca daripada kluster berkenaan. Demikian kisah virus maut itu merebak dengan cukup cepat melalui aktiviti rentas negeri, sehingga tidak sempat untuk kita memberhentikannya.

 

Setakar Isnin 17 Mei, 14 kluster baru dikenal pasti, termasuk berpunca dari kegiatan keagamaan. Tiada zon bebas COVID-19, malah Hulu Terengganu yang hijau pada 15 Mei lepas kini sudah ada kes menjadi zon kuning. Selangor kini mencatatkan kes tertinggi sebanyak…., diikuti oleh …. Lonjakan jangkitan wabak maut ini mengerikan ketika sesetengah pihak lega dapat meneruskan aktiviti ekonomi.

 

Justeru, pandangan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba untuk mencadangkan kepada pihak kerajaan melaksanakan ‘total lockdown’ kepada keseluruhan negeri Selangor adalah satu idea berani , tepat dan wajar. Kesihatan dan keselamatan nyawa tiada galang gantinya walaupun ada banyak duit.

 

Kenapa perlunya Selangor untuk PKP penuh?

 

Kita lihat statistik dari KKM untuk minggu pertama Syawal tahun ini. Pada 13 Mei lalu iaitu Hari Raya Aidilfitri, jumlah kes baharu di Selangor mencecah 1,783 kes. Keesokan harinya, kes baharu di Selangor dicatatkan sebanyak 1,269 kes, manakala pada 15 Mei lalu, Selangor mencatatkan kes baharu sebanyak 1,507 kes.

 

Pada Syawal keempat dan kelima pula, Selangor terus mencatatkan kes baharu yang tinggi iaitu 1,275 kes dan 1,650 kes. Ini menunjukkan kira-kira 30 hingga 40 peratus kes baharu harian di Malaysia telah berlaku di Selangor.

 

Keberanian Dr Adham ini mungkin akan menerima bangkangan netizen, namun ia sebenarnya tepat dari segi amalan sains perubatan, proses kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit seperti mana yang pernah dilakukannya pada tahun lalu. Mana hendak didahulukan, keselamatan atau ekonomi ? “Money or Mati ?!”

 

Tahun lalu, Dr Adham sejurus selepas dilantik menjadi Menteri Kesihatan pada 10 Mac 2020, telah mencadangkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menutup sempadan antarabangsa dan kemudian mencadangkan Langkah tepat melaksanakan PKP bermula 18 Mac 2020.

 

Langkah pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit menerusi PKP ini ternyata telah berjaya menurunkan kadar jangkitan virus maut tersebut sehingga negara kita telah beransur bebas dan sekatan demi sekatan sudah mula dilonggarkan pada waktu itu.

 

PKP pertama itu berjaya dan berkesan hasil kerjasama semua pihak sama ada KKM, seluruh agensi kerajaan, frontliners dan orang perseorangan yang berada dalam negara ini.



Justeru apabila sekali lagi Dr Adham mencadangkan perkara yang sama, ini bermakna beliau sedang berusaha untuk mengajak kita berjuang dengan penuh kesungguhan dan ketabahan.

 

Kita sudah merasai keberkesanan daripada idea ini, sehingga banyak sektor ekonomi, sosial dan keagamaan dibenarkan. Maka kenapa kita masih teragak-agak untuk mengakuinya atau menyokongnya?

 

Semoga pihak kerajaan dapat mengambil serius terhadap idea ini agar jangkitan virus maut tersebut dalam dihentikan serta merta. Rakyat negeri Selangor nampaknya ramai yang bersependapat dan sedia memberi kerjasama serta belajar dari Dr Adham dan pasukannya di KKM yang telah setahun lebih menguruskan pandemik ini.

 

Di Sabah, keadaan dapat dikawal. Kluster Sivagangga yang mengganas di Kedah pun berjaya dikawal. Keadaan juga nampaknya terkawal di Sarawak. Keadaan pada hari ini, mungkin lebih teruk jika semua orang diberikan kebenaran untuk merentas negeri dan berhari raya. Dr Adham yang terawal mengeluarkan kenyataan pada awal Ramadhan bahawa rentas negeri tidak dibenarkan untuk perayaan Aidilfitri.

 

Jika tidak, mungkin keadaan pada hari ini akan lebih meningkat kesnya dan sebagainya. Oleh itu, langkah mencadangkan PKP penuh di negeri paling berisiko dan berada di zon merah iaitu Selangor adalah satu ubat yang paling mujarab untuk mengawal pandemik COVID-19 ini.

 

Seluruh rakyat Selangor perlu menyokongnya. Ya, memang ada orang yang terkesan akibat ekonomi tetapi ianya bersifat sementara. Namun jika ada di antara kita yang hilang ahli keluarga kerana kes COVID-19 ini, ianya akan pergi buat selama-lamanya. Pertimbangkanlah mana lebih penting dan utama? Tentunya nyawa keluarga yang kita sayangi yang lebih utama. Kita hendak mereka hidup.


Kita perlukan PKP untuk terus hidup.

 

DR MUHAMMAD KELANTANI

Bandar Baru Bangi


No comments:

Powered by Blogger.