Sejarah Banjir Besar Di Malaysia, Rupanya Sudah 7 Kali Terjadi - MyRating

Sejarah Banjir Besar Di Malaysia, Rupanya Sudah 7 Kali Terjadi

 


Sudah 7 kali terjadi banjir besar di Malaysia, paling awal sejak seratus tahun yang lalu adalah pada 1926 iaitu banjir besar yang melibatkan korban yang ramai iaitu dianggarkan 1,000 orang.

Enam lagi banjir besar terjadi pada tahun 1967, 1971, 2006, 2010, 2014 yang terbaru adalah pada kira-kira sebulan lepas iaitu pada 18 Disember 2021. Bezanya kali yang ketujuh ini melibatkan kerugian yang paling besar. 

Syukurlah kali ini juga, mangsa banjir mendapat bantuan banjir yang paling pantas dan menyeluruh, melibatkan peruntukan keseluruhan sejumlah RM1.4 billion. Buat pertama kalinya juga, Perdana Menteri Malaysia turun sendiri dari satu Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) ke PKOB yang lain. Malah YAB PM sendiri turun menyampaikan sampul Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir. 


MENGIKUT kenyataan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), tragedi banjir merupakan bencana alam ketiga terbesar yang mengorbankan nyawa dan membawa kemusnahan selain gempa bumi dan letusan gunung berapi.

Walaupun Malaysia diketahui terletak dalam kedudukan yang selamat daripada bencana alam lain seperti gempa bumi, letusan gunung berapi, puting beliung dan ribut taufan yang dahsyat, namun tetap tidak dapat lari daripada bencana banjir.

Ini antara 3 kejadian banjir paling besar pernah berlaku dalam sejarah negara kita : –



BANJIR BESAR DISEMBER 1926 – JANUARI 1927

Bencana banjir ini dirasakan hampir seluruh penduduk Semenanjung Malaysia seperti Kuala Lumpur, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Selangor. Bencana ini juga dikenali sebagai ‘Bah Besar’ atau ‘Bah Ayer Merah’ kerana air yang bertukar merah akibat kejadian tanah runtuh di hulu sungai.

Peristiwa banjir ini turut digelar oleh J.M Gullick dalam tulisannya sebagai “December 1926 was ‘the mother and father’ of all floods”.

Banjir ini amat buruk susulan hujan lebat yang turun tanpa henti untuk beberapa hari. Paras air sungai naik sehingga 80 kaki. Di Kelantan, banjir besar ini berlaku selama 10 hari ini bermula pada 26 Disember 1926, dan hanya surut pada 8 Januari 1927.

Keadaan bertambah buruk apabila air sungai Kelantan meningkat secara mendadak. Kota Bharu, Kuala Krai dan Pasir Mas antara kawasan yang teruk terjejas. Kuala Krai seluas 800 kilometer persegi ditenggelami air. Kota Bharu pula dinaiki air sedalam lebih satu meter. Manakala hampir semua kawasan di daerah Pasir Mas telah tenggelam kerana bencana ini.

Di Pahang pula, banjir mula meningkat bermula 25 Disember. Air melimpah dari tebing sungai dan naik dalam tempoh 24 jam bermula 25 Disember 1926 sehingga 3 Januari 1927.

Di sekitar negeri Perak pula, banjir besar bermula pada 28 Disember hingga 4 Januari 1926 dan disebabkan kenaikan air sungai Perak, termasuk anak-anak sungai lain seperti seperti sungai Kinta dan sungai Batang Padang.

Manakala banjir besar berlaku di Terengganu selama 10 hari, bermula dari 28 Disember 1926. Banjir menyebabkan ada rumah yang ditenggelami air sehingga ke tingkat dua, malah ada balai polis yang tenggelam dan hanya dapat dilihat bumbung sahaja.

Di Perak pula, banjir melanda bermula 28 Disember sehinggalah 4 Januari, disebabkan peningkatan air sungai Perak dan sungai lain seperti sungai Kinta dan sungai Batang Padang.

Ada dicatatkan tentang kepercayaan orang Perak ketika itu berkaitan jenis-jenis banjir yang berlaku. Berdasarkan kepercayaan lama, terdapat dua jenis bah iaitu bah jantan dan bah betina. Orang lama Perak percaya bahawa bah betina lebih berbahaya dan mendatangkan lebih banyak kemusnahan berbanding dengan bah jantan.

Kuala Lumpur juga turut menerima kesan banjir besar ini. Antaranya pejabat pos besar yang ditenggelami air sedalam empat kaki. Jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur turut ditenggelami banjir.



BANJIR BESAR 1967

Kedatangan tahun baru 1967 disertai hujan lebat yang berterusan, yang melanda negeri di timur laut Malaysia terutamanya Kelantan dan Terengganu. Turut terjejas sesetengah tempat di Perak, Pahang, Kedah, Perlis, Johor dan Pulau Pinang.

Banjir pada tahun ini juga dikatakan hampir sama teruk seperti banjir pada tahun 1926. Hujan lebat yang turun di Kelantan telah mengakibatkan banjir besar bermula dari 2 Januari.

Direkodkan pada 5 Januari 1967, lebih 250,000 orang di kawasan bandar dan luar bandar telah terjejas akibat banjir yang direkodkan sebagai antara banjir terbesar di bahagian barat Malaysia.

Air naik begitu pantas sehingga amaran ancaman banjir tidak sempat dikeluarkan di sesetengah kawasan. Malah, penduduk juga tidak sempat memindahkan barangan mereka ke tempat yang lebih selamat.

Di Terengganu, paras air naik mendadak bermula 3 Januari 1967. Manakala di Kelantan, semua sungai telah melimpah. Malah, air sungai Golok telah meningkat ke tahap yang luar biasa sehingga membanjiri seluruh dataran sekitarnya. Kuala Krai antara yang paling tinggi dinaiki air.




BANJIR BESAR 1971

Antara banjir terburuk pernah berlaku sehingga hampir 50% kawasan Kuala Lumpur telah ditenggelami air. Bagi penduduk daerah Jerantut di Pahang, banjir tahun ini digelar sebagai ‘adik kandung’ kepada bah besar tahun 1926.

Ada juga yang merumuskan banjir 1971 sama buruk dengan bah besar tahun 1926. Malah banjir kali ini turut menenggelamkan landasan kereta api di Jalan Bangsar dan dikatakan setara dengan banjir tahun 1926 kerana kemusnahannya juga teruk.

Paras air di beberapa sungai mula meningkat bermula Disember 1970. Pada awal tahun 1971, kebanyakan tanah rendah telah ditenggelami air. Tiga negeri paling teruk dilanda banjir ialah Pahang, Selangor dan Johor.

Seramai 40,000 penduduk dipindahkan di Pahang, menjadikan ia negeri paling ramai mangsa banjir. Di Johor, hampir 17,000 orang dipindahkan manakala di Selangor, seramai 14,000 orang.

Dianggarkan seramai 180,000 orang terjejas angkara banjir ini dan jumlah kerugian bernilai kira-kira RM35 juta.

Kejadian banjir yang teruk ini menyebabkan kerajaan membuat pengisytiharan Darurat Banjir Kebangsaan. Pengisytiharan ini dilakukan pada 5 Januari 1971 oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdul Razak kerana kebanyakan tempat di seluruh negara telah ditenggelami air.

 

Sumber : Utusan TV

No comments:

Powered by Blogger.