Unjuran KDNK 6.2%, Bukti Ekonomi Malaysia Di Landasan Yang Betul
Malaysia kini berada dalam fasa pemulihan
selepas pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial selepas sekian lama rakyat
Malaysia mengalami Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19. Pada 11
Oktober tahun lepas mencatat saat indah buat semua rakyat Malaysia bila
aktiviti rentas negeri dibenarkan.
Ramai yang melepas rindu di kampung, malah
ada juga ibubapa yang berkunjung ke kota untuk bersama dengan anak dan cucu.
Suasana seakan normal kembali setelah hampir dua tahun dibelenggu oleh virus
maut COVID-19. Begitu juga dengan ekonomi, ada yang bangkit kembali untuk
berniaga.
Setelah
4 bulan aktiviti rentas negeri dibenarkan, beberapa hari lepas diumumkan oleh
Ketua Perangkawan Malaysia bahawa bilangan penggangur telah mulai berkurang di
bawah 700,000 orang, paras terendah sejak April 2020. Ya, masih ramai lagi yang
terkesan namun pemulihan ekonomi dan kehidupan rakyat Malaysia berada di landasan
yang tepat nampaknya kini.
Malah Kerajaan Malaysia hari ini memberikan jaminan PKP tidak akan dilaksanakan lagi walaupun negara masih berdepan situasi penularan COVID-19 termasuk varian Omicron. Ini satu langkah yang cukup baik, ekonomi dalam negara boleh diteruskan seperti biasa namun langkah kawalan sempadan negara sahaja yang diperketatkan bagi mengawal penularan Omicron.
Dua
hari lepas, Ketua Ahli Ekonomi Asean dan Asia Selatan Standard Chartered Bank
(StanChart), Lee Wee Kok mengumumkan jangkaan pemulihan pantas ekonomi Malaysia
pada tahun ini.
Menurut Lee lagi, "Pertumbuhan Kadar
Dalam Negara Kasar (KDNK) pulih kepada 6.2 peratus daripada 3.5 peratus pada
2021."
Unjuran defisit fiskal juga dilihat semakin
mengecil pada kadar 6% daripada KDNK pada 2022 berbanding 6.5% pada tahun 2021
dan untuk sampai ke tahap ini, pastinya memerlukan sokongan dari faktor luaran
yang agendanya disusun kemas dan mapan.
Antara penyumbang terbesar kepada kejayaan
ini adalah hasil dari keberkesanan program vaksinasi yang dijalankan pihak
kerajaan.
Vaksinasi lengkap, ditambah pula dengan
pengambilan dos penggalak juga telah berjaya mengurangkan impak jangkitan dari
terus tersebar luas. Malah Nikkei COVID-19 Recovery Index yang
dikeluarkan baru-baru ini kedudukan Malaysia telah melonjak 101 anak tangga ke
kedudukan ke-13 di dunia dan yang pertama di ASEAN.
Pembukaan sempadan negeri membolehkan
pergerakan ekonomi dalam negara kembali ke tahap hampir normal sekaligus menghidupkan
semula industri kecil dan sederhana yang selama ini tenat.
Keadaan ini juga membolehkan lebih banyak
sektor ekonomi dibuka dan mewujudkan peluang kerja kepada segenap masyarakat
yang sebelum ini terkesan oleh pandemik.
Keadaan ini juga disokong oleh pembentukan
Rancangan Malaysia ke-12, strategi yang dirangka dengan mengambil kira harapan
dan keperluan Keluarga Malaysia dari aspek kesejahteraan dan taraf hidup.
Tumpuan utama RMK-12 ini sememangnya untuk
merancakkan pertumbuhan ekonomi, memperkukuh pemangkin pertumbuhan,
meningkatkan kesejahteraan sekaligus membasmi kemiskinan dengan inisiatif
merapatkan jurang pendapatan serta pembangunan antara wilayah, negeri serta
antara luar bandar dan bandar.
Berpaksikan segala inisiatif yang telah
digerakkan, maka kejayaan telah mula menampakkan bayangnya. Ini sekaligus
membuktikan bahawa Malaysia sememangnya masih kekal berada di landasan yang
betul melalui segenap usaha yang dilaksanakan Perdana Menteri bersama barisan
kepimpinan pada hari ini.
Oleh itu, tidak hairanlah semalam bila Majlis Kerja Tertinggi UMNO dalam mesyuaratnya telah menyatakan akan memantapkan sokongannya terhadap YAB Perdana Menteri. Sokongan berterusan ini penting bagi memberi keyakinan kepada pelaburan dan sektor ekonomi untuk terus berkembang. Kerajaan yang stabil akan menghadirkan lebih banyak kemakmuran kepada seluruh rakyat jelata.
No comments: