10 Faktor Kemenangan Barisan Nasional Di PRN Johor - MyRating

10 Faktor Kemenangan Barisan Nasional Di PRN Johor

 


Kemenangan 40 kerusi DUN Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor adalah suatu signal jelas penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan dan parti-parti lain yang gagal menyakinkan rakyat.  Rakyat dilihat mempercayai satu parti yang benar-benar serius ingin berkhidmat kepada rakyat, iaitu Barisan Nasional. 


Namun jika dilihat balik satu persatu, diringkaskan menerusi analisa ini terdapat 10 faktor utama antara penyebab Barisan Nasional dapat menawan semula Johor dalam PRN baru-baru ini. 


Pertamanya, penolakan pengundi terhadap Pakatan Harapan (PH). Pada pengundian lepas, pengundi telah memberi peluang kepada PH untuk memimpin namun sayang sekali kepercayaan yang diberikan itu tidak digunakan sebaik mungkin. Janji-janji tidak ditunaikan dan manifesto tidak dilaksanakan membuatkan pengundi tawar hati dan kecewa. Skandal Tabung Haji, FELDA, FELCRA dan RISDA meninggalkan kesan mendalam kepada pengundi-pengundi Melayu.


Keduanya, Ikhtiar BN / Keluarga Malaysia. Aspirasi Keluarga Malaysia berjaya menyatu padukan rakyat dan melenyapkan isu perkauman serta isu-isu besar yang lain. Aspirasi ini antara lain menyeru rakyat Malaysia mengetepikan perbezaan dalam memulihkan semula negara bagi menggembeleng tenaga dalam cabaran mendepani pandemik COVID-19 dan merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.


Ketiganya, komitmen dan kejayaan Dato’ Sri Ismail Sabri (DSIS) dalam membendung  isu harga barang dan tarif elektrik. Isu kenaikan harga barang dan tarif elektrik merupakan antara isu yang menjadi perbincangan di peringkat nasional. Perdana Menteri (PM) sendiri prihatin dengan kegusaran rakyat mengenai perkara ini dan telah mempengerusikan beberapa mesyuarat berkaitan bagi mencari alternatif dan jalan penyelesaian terhadap isu ini. Pihak pembangkang dilihat cuba memainkan isu ini, tetapi akhirnya dilihat tidak berjaya mempengaruhi rakyat dengan isu ini. 



Keempat, penjanaan semula sektor ekonomi pasca COVID-19 dan peluang pekerjaan. Pengumuman pembukaan rentas negeri oleh PM disambut baik oleh banyak pihak. Begitu juga dengan Vaccinated Travel Lane (VTL) antara Malaysia dan Singapura, ramai yang menarik nafas lega terutama yang berulang alik setiap hari bekerja di antara dua buah negara ini.  


Dalam dua tahun sejak virus COVID-19 menyerang, ramai yang kehilangan kerja dan perih untuk meneruskan kelangsungan hidup. Menyedari kepayahan yang sedang dilalui oleh rakyat, DSIS telah mempekenalkan Program Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang menyediakan 600,000 peluang pekerjaan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion. Alternatif ini membantu menurunkan kadar pengangguran kepada 4.2% berbanding sebelumnya. Parti MUDA dilihat mahu menjuarai isu ini, namun gagal akhirnya. 


Kelima, menangani isu Felda, nelayan, petani dan orang muda. Bagi menyelesaikan isu perumahan yang dihadapi oleh peneroka, kerajaan telah menyediakan 3,200 lot tanah generasi kedua Felda di Johor. Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri secara bersama akan memberi peruntukan sebanyak RM60 juta. Selain itu isu bekalan air di tanah Felda juga bakal selesai dengan kerajaan meluluskan peruntukan RM41 juta bagi menaik taraf Loji Rawatan Air Gembut. Ini antara sebab mengapa 7 orang calon PKR dan 4 orang calon Amanah hilang deposit di kawasan majoriti Melayu dalam PRN lepas. 


Isu lesen menangkap ikan yang sering menghantui para nelayan telah dapat diselesaikan. Kata mereka bukan tidak memohon bahkan sudah banyak kali menghantar permohonan. Mereka sendiri tidak faham mengapa sehingga kini ia tidak diluluskan. Memahami betapa pentingnya lesen bagi nelayan untuk mencari rezeki, BN berjanji akan mencari jalan agar ia dapat diselesaikan secepat mungkin. Jauh berbeza dengan gaya Menteri Pertanian daripada PH satu ketika dahulu yang pandai menangis sahaja bila berjumpa dengan nelayan.


Begitu juga dengan komitmen kerajaan dalam memastikan bekalan sumber makanan terjamin, DSIS telah melancarkan varian benih padi baharu IS21 untuk meningkatkan hasil tuaian sebanyak 65%. Semua ini untuk membantu komuniti petani. 


Majoriti graduan muda yang tamat belajar kepada era COVID-19 masih tercari-cari ruang pekerjaan yang menjamin masa depan. Tidak mahu masa terbuang begitu sahaja kerajaan telah memperkenalkan Penjana Kerjaya di bawah seliaan Perkeso. Satu lagi program yang membantu pencari kerja ialah MySTEP iaitu peluang pekerjaan jangka pendek di sektor awam, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) secara kontrak. 



Keenam, menyelesaikan isu perumahan. Harga rumah yang luar daripada kemampuan menyukarkan rakyat untuk memiliki rumah sendiri. Sebagai alternatif, Rumah PR1MA telah diperkenalkan. Objektif program ni adalah untuk merancang, membangunkan, membina dan mengekalkan perumahan bermutu tinggi untuk orang yang duduk di kawasan bandar utama, tapi berpendapatan isi rumah sederhana. 


Khas buat anggota unit beruniform Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kerajaan telah memperkenalkan Rumah Mampu Milik ATM serendah RM150,000. Menerusi program ‘Satu Anggota Satu Rumah’ ia terbuka kepada Tentera Darat, Tentera Laut, Tentera Udara dan tidak ketinggalan anggota tentera veteran dan semua ini boleh dipohon tanpa slip gaji. 


Pihak kerajaan menggesa Bank Negara melihat kembali model pembiayaan perumahan untuk mempermudahkan pinjaman kepada golongan B40 dan M40 membeli rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah mampu milik. Skim Jaminan Kredit Berhad (SJKP) membolehkan golongan berkenaan membuat pinjaman yang dijamin kerajaan sendiri dengan peruntukan sejumlah RM2 billion diperuntukkan dalam skim ini. Pengumuman mengenai hal ini dibuat oleh YAB PM sendiri di Johor pada 4 Mac 2022. 




Ketujuh, PM mengambil berat masalah rakyat.


Meski pun mempunyai jadual padat, PM tidak mengambil masa lama untuk sampai ke tempat-tempat yang ditimpa masalah. Akhir-akhir ini masalah banjir melanda. PM tidak hanya datang melawat mangsa banjir malah mengumumkan sekali gus menyerahkan sendiri bantuan. Ia sedikit sebanyak meringankan beban mangsa yang ditimpa dengan bencana tidak diduga. Begitu juga dengan nasib peniaga kecil yang turut mendapat perhatian YAB PM.


Kelapan, rakyat Johor mahukan kestabilan.


Satu ketika dahulu, Johor berada di bawah pemerintahan BN. Banyak yang telah dicapai, pelbagai pembangunan telah dibangunkan di Johor tanpa ada kacau bilau dari segi perpaduan dan persepakatan. Ini yang rakyat Johor dahagakan kelestarian dan permuafakatan kerajaan negeri dan persekutuan yang lebih stabil hasil gandingan terbaik DSIS dan Menteri Besar Johor daripada BN. Kerjasama erat kerajaan pusat dan negeri ini merupakan manfaat besar untuk dinikmati oleh rakyat negeri Johor.

Faktor kesembilan ialah perpecahan dalam blok pembangkang. Faktor besar perpecahan ini telah memberi kelebihan kepada BN. Sebelum PRN Johor bermula lagi, seribu satu perpecahan dan masalah dalaman pembangkang terselak. Isu berebut kerusi memperlihatkan betapa mereka saling tidak menghormati dan ini akhirnya memakan diri. Enggan terkeliru dengan ‘drama bersiri’ pembangkang, pengundi menetapkan keputusan memilih parti yang lebih stabil iaitu BN.



Faktor kesepuluh yang menyumbang kepada kemenangan BN ialah kekuatan jentera pilihanraya BN. Sepanjang dua minggu masa berkempen, jentera parti ialah elemen utama yang membantu mencorakkan kemenangan BN. Tanpa jentera siapalah calon dan juga parti. Keikhlasan menyokong setiap calon yang dinamakan membuktikan kesetiaanmereka. Tanpa mengira masa dan tenaga, ahli jentera melakukan segalanya bagi memastikan kemenangan dalam genggaman parti. Parti yang memiliki jentera terbaik adalah pemenangnya!


No comments:

Powered by Blogger.