5 Calon Hot Untuk Ganti Mazlee Sebagai Menteri Pendidikan - MyRating

5 Calon Hot Untuk Ganti Mazlee Sebagai Menteri Pendidikan

Biarpun semalam sudah diputuskan oleh mesyuarat Kabinet tentang siapa sebenarnya yang akan memangku jawatan Menteri Pendidikan menggantikan Dr Maszlee Malik yang meletakkan jawatan pada minggu lepas, namun di media sosial semua rakyat hangat memperkatakan calon calon ini untuk gantikan tempat Dr Maszlee itu. 

No. 5 - Dato Seri Mukhriz 



Dari utara tanahair, Ahli Parlimen Jerlun dan Menteri Besar Kedah ini disebut-sebut akan dibawa ke Putrajaya sebagai Menteri Pendidikan yang baru. Pelbagai teori mula keluar dengan menyatakan Kedah akan mendapat MB yang baru. Dua nama disebut-sebut gantikan Dato Seri Mukhriz di Kedah iaitu Dato Amiruddin Hamzah dan Johari Abdul. 

Namun teori ini boleh tinggal teori sahajalah. Ianya hanyalah tekaan umum sahaja, nampak seakan tidak betul Dato Seri Mukhriz akan dibawa sebagai Menteri Pendidikan. Dato Seri Mukhriz akan kekal di Kedah sebagai MB Kedah. 

No. 4 - Saifuddin Abdullah




Ada pula yang menyatakan Dato' Saifuddin Abdullah akan dibawa ke Kementerian Pendidikan dari Kementerian Luar Negeri. Tempat Saifuddin akan diisi oleh salah seorang bekas Menteri dari PPBM dari negeri Perak. Saifuddin katanya akan ke tempat itu menggantikan Dr Maszlee kerana beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi suatu ketika dahulu. 

Beliau juga masih lagi berhubung baik dengan penjawat penjawat utama di universiti. Barangkali tekaan ini juga meleset kerana kerusi Menteri Pendidikan itu adalah daripada PPBM sedangkan Saifuddin adalah daripada parti Amanah. Ramalan ini nampaknya kurang tepat. 

No. 3 - Wan Saiful Wan Jan



Beliau adalah bekas calon PPBM untuk kerusi parlimen Pendang, namun tewas dalam PRU14 yang lepas. Selepas itu Wan Saiful dilantik sebagai Pengerusi PTPTN dan juga Penasihat kepada Dr Maszlee di Kementerian Pendidikan. Namun Wan Saiful melepaskan jawatan sebagai Penasihat Menteri Pendidikan beberapa bulan selepas itu. 

Wan Saiful dilihat sebagai antara calon sesuai kerana latar belakang pendidikan dan beliau juga adalah antara pemimpin tertinggi daripada PPBM. Namun beliau bukanlah seorang ahli parlimen. Tidak menghairankan jika beliau dilantik sebagai Senator dan terus ke jawatan tersebut. Tun Mahathir suatu ketika dahulu pernah melantik Tan Sri Musa Mohamed pada tahun 1999 hingga tahun 2003 sebagai Menteri Pendidikan. Segalanya mungkin bagi Perdana Menteri, kerana kuasa melantik itu adalah ditangannya. 

No. 2 - Dato Mustapa Mohamed



Nama Ahli Parlimen Jeli ini paling awal disebut-sebut sebagai orang yang paling sesuai dibawa masuk menggantikan Dr Maszlee di Kementerian Pendidikan. Tok Pa sendiri adalah bekas Menteri Pengajian Tinggi. 

Sewaktu krisis ekonomi dan sokongan anak muda pada tahun 1998 hingga tahun 2000, Tok Pa adalah orang kepercayaan Tun Mahathir untuk menguruskan dua isu ini secara sekaligus dan terbukti Tok Pa berjaya menyelesaikannya dengan baik. Kali ini, kerajaan PH mengalami situasi yang sama dan apakah Tok Pa akan diberi tugas itu sekali lagi oleh Perdana Menteri? 



No. 1 - Nurul Izzah Anwar



Nama Ahli Parlimen Permatang Pauh dan juga anak bakal Perdana Menteri ke-8 ini paling hangat sekali disebut-sebut oleh netizen untuk ke jawatan Menteri Pendidikan. Nurul Izzah memang popular dan ramai netizen mahukan Nurul Izzah mencuba sesuatu yang baru di Kementerian Pendidikan. 

Lagipun Nurul Izzah bukanlah asing di kalangan orang muda, pensyarah, mahasiswa dan golongan pelajar. Sesuatu yang boleh menjadi sedikit halangan untuk Nurul Izzah ke jawatan tersebut adalah kerana berlainan parti, jawatan itu sebelum ini dipegang oleh PPBM namun Nurul Izzah adalah dari parti PKR. 

Walau apa pun tekaan dan ramalan, nama orang yang akan gantikan Dr Maszlee sudah ada dan diketahui oleh Kabinet semalam. Ini hanyalah analisis sahaja untuk rakyat Malaysia mengetahui bahawa di kalangan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan ada ramai lagi yang berbakat dan berkebolehan untuk gantikan Dr Maszlee. 


No comments:

Powered by Blogger.