Biasiswa Kerajaan Turki, Ayuh Rakyat Malaysia Pohon Beramai-Ramai - MyRating

Biasiswa Kerajaan Turki, Ayuh Rakyat Malaysia Pohon Beramai-Ramai



1. Luar biasa Kerajaan Turki tahun ini menawarkan biasiswa yang menarik untuk pelbagai peringkat pengajian dan bidang kepada semua yang berminat – meski pun mereka berdepan keadaan tekanan ekonomi Amerika di bawah Trump pada tahun lalu.

2. Semua rakyat Malaysia yang berminat diseru supaya memohon biasiswa ini yang baru sahaja dibuka permohonanya.  Biasiswa kerajaan Turki ini bukan sahaja menawarkan bayaran bulanan yang cukup tinggi, tetapi juga proses permohonan yang cukup unik dan mudah.

3. Kerajaan Turki menawarkan bayaran biasiswa sebanyak 1600 Turkish Lira sebulan bagi pelajar PhD, 1100 Turkish Lira sebulan kepada pelajar Sarjana (Master), dan 800 Turkish Lira sebulan kepada pelajar sarjana muda (degree). 

4. Uniknya biasiswa Turki ini adalah disebabkan sistem proses permohonannya yang turut disertakan dengan tawaran tempat pengajian di universiti-universiti Turki. Maka, para pemohon tidak perlu menghantar permohonan berasingan ke mana-mana universiti pilihan mereka.  Ringkasnya, anda tidak perlu memiliki surat tawaran dari universiti terlebih dahulu untuk memohon biasiswa ini. 

5. Biasiswa kerajaan Turki ini juga turut menawarkan kemudahan kediaman di Turki, bayaran yuran pengajian, insurans kesihatan, dan juga tiket penerbangan pergi-balik ke Turki.

6. Lebih istimewa, para penerima biasiswa ini akan menjalani Kursus Bahasa Turki selama setahun sebelum memulakan pengajian rasmi mereka.

7. Bukan sahaja anda akan berpeluang untuk menuntut ilmu di negara pertengahan antara Eropah dan Asia ini, bahkan juga anda akan berpeluang untuk mengikuti pelbagai program dan aktiviti kebudayaan pewaris Empayar Uthmaniyyah – empayar terakhir dalam sejarah umat Islam (setakat ini).

8. Permohonan dibuka hingga 20 Februari 2020, masih ada banyak masa untuk anda lakukan persiapan dan memohon.

9. Selepas permohonan ditutup pada 20 Februari 2020, akan ada proses temu bual (interview) yang dijangka akan diadakan antara Mac hingga Jun 2020.  Keputusan permohonan dijangka akan diumumkan pada Julai 2020, diikuti proses perjanjian biasiswa dan visa antara Julai hingga Ogos 2020.  

10. Para penerima biasiswa kerajaan Turki tahun ini dijangka akan berangkat bagi memulakan pengajian di Turki antara 10 ke 20 September 2020.  Untuk makluman lanjut, sila rujuk https://www.turkiyeburslari.gov.tr/.

11. Permohonan HANYA boleh dilakukan di laman sistem berikut: https://tbbs.turkiyeburslari.gov.tr/

12. Anda juga boleh berusaha menghubungi para pelajar Malaysia yang pernah dan sedang menuntut di Turki dengan biasiswa kerajaan Turki ini untuk mengukuhkan persediaan permohonan anda. 

13. Antara inisiatif yang boleh diambil adalah seperti menghubungi Persatuan Pelajar Malaysia di Turki di mana laman FB rasmi mereka ialah Malaysian Student Association in Turkey (MASAT). Ramai pelajar Malaysia yang berbakat besar bernaung di bawah persatuan MASAT ini, pastinya ada antara mereka yang bersedia untuk berkongsi pengalaman dan panduan dengan anda. 

Saya doakan semoga tahun ini ramai pelajar Malaysia menerima biasiswa kerajaan Turki dan berpeluang untuk menimba ilmu di bumi pertengahan antara Kuasa Timur dan Kuasa Barat ini.

Semoga berjaya,

No comments:

Powered by Blogger.