Kos Pos Sudah Naik, Gaji Posmen Bulan Februari Ini Naik Tak? - MyRating

Kos Pos Sudah Naik, Gaji Posmen Bulan Februari Ini Naik Tak?



Bermula 1 Februari lepas, kos setem untuk komersial sudah dinaikkan dari harga 60 sen kepada RM1.30. Pelanggan komersial melibatkan sejumlah 95% daripada 9 juta alamat pelanggan Pos Malaysia. Ini bermaksud, ada sejumlah 8.5 juta adalah daripada pelanggan komersial. 

Tiga kategori lain yang turut mengalami kenaikan tarif adalah Peti Surat Persendirian Komersial yang naik dari RM150 ke RM200, yang kedua adalah Mel Berdaftar Komersial yang naik dari 90 sen ke RM3.10 dan ketiga Mel Berdaftar Bukan Komersial yang naik dari RM0.20 kepada RM2.40. 

Kos operasi sudah dinaikkan, bagaimana pula dengan gaji posmen?

Dalam pembentangan Bajet 2020 yang lepas, rakyat Malaysia banyak mendengar inisiatif inisiatif digital yang diumumkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan. Namun mengapakah tiada langsung dana atau geran yang diadakan untuk menyerap kenaikan harga pos ini?

Jika ada dana barangkali, ianya boleh digunakan untuk menampung kos operasi yang berkaitan dengan emolumen staff Pos Malaysia.

Jangkaan bahawa kenaikan harga pos sudah pun diketahui awal oleh kerajaan. Pos Malaysia dulunya ada Kementeriannya sendiri, mungkin ramai yang masih ingat Kementerian Pos, Tenga dan Air, di suatu zaman dahulu kala.

Biarpun sudah diswastakan dan diletakkan di bawah DRB Hicom, tetapi Pos Malaysia yang suatu ketika dahulu pernah menjadi entiti penuh kerajaan perlu dipandang kebajikannya oleh pihak kerajaan. 


Kenaikan ini gaji staff staff Pos Malaysia harus dipertimbangkan kerana antara alasan kenapa kos setem, mel dan bungkusan untuk komersial dinaikkan adalah untuk menampung kos operasi ini.

Beberapa bulan lepas, viral di media sosial, gaji seorang posmen yang telah berkhidmat selama lebih 22 tahun, tetapi gajinya tidak sampai pun RM2000.

22 tahun itu lama. Kerja sejak tahun 1997 lagi, jika ada anak sudah pun boleh mengundi. Gaji pokok posmen tersebut hanyalah RM1,848.00. Itu yang kerja selama 22 tahun, bagi Posmen yang baru bekerja ditawarkan gaji sejumlah RM1,300 sebagai permulaan.

Page Friends Of Posmen ini telah banyak menceritakan tentang kisah suka duka seorang posmen. Kisah posmen yang mendakap kemas surat biarpun kepala berdarah kerana kemalangan. Kisah posmen yang gigih menghantar surat ketika di zaman komunis dahulu dan kisah tiga generasi yang menjadi posmen.

Dalam Belanjawan 2020, rakyat Malaysia mendengar anggota kerajaan yang lain menerima imbuhan dan elaun tambahan, namun tidak disebut pun nama Posmen. Apa salahnya berilah gaji yang berpadanan dengan usaha dan komitmen Posmen pada tugas mereka.

Mereka juga manusia seperti yang lain. Punyai keluarga dan kehidupan. Dengan tariff pos yang makin naik ini, diharap dapat dipertimbangkan juga kenaikan gaji kepada semua posmen-posmen di Malaysia.

Moga perjuangan semua posmen ini didengari dan dibela dengan sebaiknya. Moga-moga ada sinar di hujung terowong buat abang abang Posmen sekalian. Jangan berhenti berharap. 

No comments:

Powered by Blogger.