Bersamalah Bantu Kementerian Kesihatan Perangi Pandemik COVID-19 - MyRating

Bersamalah Bantu Kementerian Kesihatan Perangi Pandemik COVID-19


KUANTAN: Seluruh rakyat tidak mengira pangkat atau darjat perlu bersatu padu bagi memastikan penularan pandemik Covid-19 dapat dibendung sepenuhnya di negara ini.

Timbalan Presiden Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (MPMMK), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, langkah sedemikian penting ibarat peribahasa, bersatu teguh, bercerai roboh. 

“Ingatlah, kita sebelum ini telah pun diiktiraf oleh badan kesihatan dunia atas usaha kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19.

“Kita belum bebas dari Covid-19, bersama-samalah membantu kerajaan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan warga Kementerian Kesihatan untuk memerangi wabak ini. 

“Janganlah kita hanya pandai menuding jari sahaja apabila wabak ini kembali menular, kita pasti berjaya mengekang penularan pandemik Covid-19 sekiranya seluruh rakyat Malaysia bersama-sama dan bersatu hati dalam menanganinya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Haslihelmy berkata, beliau ingin mengingatkan kembali bahawa Malaysia sebelum ini diiktiraf sebagai antara lima negara terbaik di dunia dalam mengawal pandemik Covid-19. 

“Jangan kita lupa kerja keras kerajaan, Menteri Kesihatan dan seluruh warga Kementerian Kesihatan termasuk petugas barisan hadapan yang telah bekerja bertungkus lumus sejak dari awal bagi mengekang penularan Covid-19.

“Tanpa kerja keras dan pengorbanan mereka tentunya penularan wabak ini tidak akan mencapai tahap sifar seperti kita capai sebelum ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

No comments:

Powered by Blogger.