Neelofa Telah Pun Dirisik? - MyRating

Neelofa Telah Pun Dirisik?


KUALA LUMPUR: Instagram (IG) Story dikongsi Neelofa, kira-kira tujuh jam lalu, mencetuskan tanda-tanya apa yang sedang dilalui pengacara dan usahawan popular itu, hari ini. Melayangkan kata-kata memohon agar hari ini diberkati dan segala perancangan dipermudahkan, netizen berteka-teki apakah Neelofa merancang sesuatu yang istimewa tetapi cuba disembunyikan daripada pengetahuan ramai.



Coretan Neelofa itu berbunyi:

"Semoga hari ini kita diberkati Allah dan dipermudahkan segala perancangan.

"Terima kasih Allah kerana menjadikan semuanya tersusun sempurna," katanya yang digosip menjalin hubungan rapat dengan pendakwah bebas, Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz.



Bagaimanapun, sumber memberitahu BH Online, ada majlis berlangsung di kediaman ibu bapa Neelofa di Petaling Jaya, hari ini, di mana jumlah tetamu dihadkan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Sumber itu memberitahu, majlis itu dihadiri kira-kira 20 tetamu.

Sementara itu, ibu Neelofa, Noorkartini Noor Mohamed turut berkongsi berita gembira mengenai anaknya di IG.



"Syukur padamu Ya Rabbi... Saat yang kutunggu sudah pun tiba. Kau hadirkan insan istimewa yang bakal membimbing bidadari kesayanganku.

"Saya yakin dengan ketentuanMu, yang mana insan ini dapat membahagiakannya, dapat menyerikan dan melengkapi hidupnya.

"Yang akan menyokong setiap apa saja urusannya. Ya Allah jadilah mereka penyebab kami menjadi tetamu istimewaMu di syurga," luahnya.



Pada masa sama, tindakan sepupu Neelofa, Qalisha Ray berkongsi foto dirakam bersama pengacara itu dan Riz, menambah spekulasi apakah ada sesuatu dirancang keluarga kedua-dua belah pihak termasuk kemungkinan Neelofa dirisik, hari ini.

Sebelum ini, Neelofa, 31, menafikan menjalinkan hubungan cinta dengan Riz, 25.

Tanda tanya mula tercetus apabila kakaknya, Noor Nabila Mohd Noor memuat naik foto Neelofa dan Riz berpakaian sedondon pada majlis perkahwinan adik Neelofa, baru-baru ini.

Neelofa menjelaskan, tiada apa-apa hubungan istimewa antara mereka.

"Jika ada, saya akan beritahu dengan siapa saya berkawan," katanya.


Sumber : Berita Harian

No comments:

Powered by Blogger.