Belum Ada Vaksin Yang Sudah Melepasi Ujian Klinikal - Dr Adham - MyRating

Belum Ada Vaksin Yang Sudah Melepasi Ujian Klinikal - Dr Adham

 


KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti vaksin-vaksin yang dibangunkan dengan berhati-hati agar ia dapat digunakan di negara ini.


Ia bagi memastikan vaksin-vaksin berkenaan mematuhi dasar Program Imunisasi Kebangsaan berdasarkan keberkesanan, keselamatan dan kualiti vaksin yang dihasilkan agar manfaat  optimum dapat diperolehi oleh rakyat.


Menterinya, Datuk Seri  Dr Adham Baba berkata, penilaian vaksin dan sesi libat urus KKM dengan pengeluar vaksin telah dimulakan sejak bulan Jun lalu.


Jelas beliau, pada masa ini, tiada lagi vaksin yang telah melepasi ujian klinikal yang boleh dipertimbangkan untuk didaftarkan di Malaysia.


“Bagaimanapun KKM telah pun mempunyai pelan vaksinasi Covid-19 yang khusus kepada rakyat dan bersedia untuk melaksanakannya apabila vaksin yang berkualiti, berkesan dan selamat telah tersedia untuk digunakan.


“KKM menjangkakan permintaan global vaksin Covid-19 yang tinggi nanti akan memberi kesan bekalan kepada negara.


“Sehubungan itu, pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 nanti akan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengutamakan kumpulan yang berisiko tinggi mendapat jangkitan.


”Ia seperti anggota di barisan hadapan yang terlibat dalam kawalan Covid-19 secara langsung, kumpulan yang perlu dilindungi termasuk warga emas dan pesakit-pesakit dengan ko-mobiditi seperti penyakit jantung, diabetes, penyakit pernafasan kronik dan sebagainya dan seterusnya akan diperluaskan kepada rakyat lain sehingga mencapai imuniti seperti yang disarankan,” katanya ketika menjawab soalan bertulis Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) di Dewan Rakyat di sini hari ini


Dr Dzulkefly bertanyakan pelan khusus dan strategi kementerian dalam menyediakan pelan vaksinasi kepada rakyat Malaysia apabila vaksin Covid-19 diperoleh supaya imuniti kawanan dapat mencapai sekurang-kurangnya 85 peratus seperti yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


Adham memberitahu, vaksin merupakan salah satu langkah pencegahan untuk membendung penularan virus Covid-19.


Katanya, pada masa ini, usaha ke arah menghasilkan vaksin pandemik sedang giat dijalankan oleh pelbagai pihak di peringkat global.


“Proses pembangunan dan penghasilan vaksin merupakan satu proses yang rumit dan lazimnya mengambil masa yang lama sehingga 15 tahun dengan mengambil kira keselamatan, keberkesanan dan kualiti vaksin yang dihasilkan.


“Bagaimanapun, dalam keadaan pandemik Covid-19 ini, para saintis sedang berusaha untuk menghasilkan vaksin dalam tempoh yang amat singkat dan menyasarkan vaksin tersebut boleh diguna pakai menjelang tahun 2021,” katanya. – MalaysiaGazette


Sumber : Malaysia Gazette


No comments:

Powered by Blogger.