Pesakit Positif COVID-19 Lari Dari Hospital Pulau Pinang Ditahan Semula - MyRating

Pesakit Positif COVID-19 Lari Dari Hospital Pulau Pinang Ditahan Semula

 

BAYAN LEPAS, 16 November - Seorang pesakit positif COVID-19 yang melarikan diri dari wad Hospital Pulau Pinang berjaya ditemukan dekat sebuah kedai dobi di Bayan Lepas, malam tadi.

Ia hasil maklumat orang awam yang melihat lelaki terbabit sebaik sahaja gambar suspek tular di media sosial.

Berdasarkan siasatan, pesakit lelaki berusia 23 tahun itu melarikan diri sekitar pukul 3.20 petang kerana mahu berjumpa abangnya.

Difahamkan, pesakit itu menggunakan bas untuk bergerak dari Komtar ke Bayan Lepas sebelum berhenti dan menunggu abangnya di sebuah kedai dobi.

Polis yang menerima laporan daripada orang awam bergegas ke kawasan tersebut dan berjaya menemukannya sekitar pukul 8.30 malam.

Pesakit berjaya ditahan dan dibawa semula ke Hospital Pulau Pinang dengan bantuan petugas kesihatan.

Proses sanitasi akan dilaksanakan Jabatan Kesihatan di kedai dobi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Suffian Santong mengesahkan kejadian tersebut.

Untuk rekod, pesakit terbabit dimasukkan ke wad pada 13 November lalu selepas disahkan positif COVID-19.

No comments:

Powered by Blogger.