8 Cara Mudah Buat Umat Islam Mendapatkan Pahala
1. Membaca Surah Al-Ikhlas
Di dalam masa satu minit, kita boleh membaca
sekitar 10 kali Surah Al-Ikhlas. Ia adalah surah yang cukup mudah untuk dihafal
dan ia adalah surah yang cukup popular untuk dibaca di dalam sholat apabila
kita mengejar masa.
Rasulullah
ﷺ bersabda: "Siapa yang membaca qul huwallahu ahad sampai akhir
(Surah Al-Ikhlas) sebanyak sepuluh kali, maka akan dibangunkan baginya rumah di
syurga." (Hadis Riwayat Ahmad)
Jadikan membaca surah al-Ikhlas sebagai
amalan mengisi masa terluang, Insyallah kita akan memperolehi rumah di Syurga!
2. Bersolawat Kepada Rasulullah ﷺ
Kita memang dianjurkan untuk sentiasa
berselawat kepada baginda Rasulullah
kerana bagi setiap selawat, Tuhan akan memberi 10 kali salam kepada
kita. Salam di sini bermaksud dirahmati kehidupan kita, dipermudahkan urusan
kerja dan sebagainya.
"Barangsiapa yang bersolawat ke atasku
sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat ke atasnya 10 kali ganda".
(Hadis Riwayat Muslim)
Di dalam masa satu minit, kita boleh
bersolawat melebihi dari 30 kali atau jika kita melafazkan selawat pendek ia
boleh mencecah sehingga 100 kali.
3. Beristighfar Memohon Keampunan
Setiap kali kita beristighfar, Tuhan akan
memberikan kegembiraan, kelapangan dan memberi rezeki dari arah yang kita tidak
sangka.
Seperti sebuah hadis baginda Nabi Muhammad ﷺ:
"Barangsiapa yang senantiasa
beristighfar, maka Allah akan memberikan kegembiraan dari setiap kesedihannya,
kelapangan bagi setiap kesempitannya dan memberi rezeki dari arah yang tidak
disangka-sangka." (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)
Di dalam satu minit, kita boleh beristighfar
sekitar 30 kali dengan penuh penghayatan atau sekadar menggunakan lafaz pendek
“astaghfirullah hal adzim”, boleh dilafazkan sekitar 100 kali.
4. Bertanya Khabar Keluarga
Dengan wujudnya perbagai kemudahan seperti
media sosial pada hari ini, kita hanya perlukan satu minit untuk bertanyakan
khabar ahli keluarga yang terdekat. Dengan satu pesanan SMS atau WA sahaja
sudah boleh mengetahui keadaan ahli keluarga tersayang.
Itu juga sudah dikira sebagai menghubungkan
silaturahim.
Sabda Nabi Muhammad ﷺ: "Barangsiapa yang
suka diluaskan rezekinya dan ditangguhkan kematiannya, hendaklah ia menyambung
silaturahim." (Hadis Riwayat Bukhari)
5. Lafaz Tasbih
Dua kalimah yang ringan di mulut, tetapi
berat di timbangan, serta disukai oleh Allah Yang Maha Pengasih yaitu:
"Subhanallah wa bihamdihi, subhanallah hil adzim." (Hadis Riwayat
Muslim)
Dalam masa satu minit, kita boleh melafazkan
tasbih ini sekitar 40-50 kali.
6. Akui Semua Kejadian Adalah Kehendak Tuhan
Ayat kalimat ini sangat ringkas tetapi
mempunyai manfaat yang luar biasa. Kita biasanya melafazkan ayat ini ketika
mendengar guruh yang kuat di langit.
Tetapi Nabi Muhammad juga ada bersabda ﷺ:
"Wahai ‘Abdullah bin Qois, katakanlah
‘laa hawla wa laa quwwata illa billah’, kerana ia merupakan simpanan pahala
berharga di syurga." (Hadis Riwayat Bukhari)
Bayangkan dengan lafaz mudah ini, ia boleh
menjadi satu simpanan pahala yang berharga di syurga. Di dalam satu minit, kita
boleh melafazkan kalimat ini sekitar 30 kali.
7. Mendoakan Orang Lain
Dalam satu minit kita boleh berdoa untuk
sesiapa sahaja, Insya Allah Tuhan juga akan memberikan doa yang sama buat kita.
Rasulullah bersabda ﷺ :
"Barangsiapa yang mendoakan mukmin
lelaki ataupun perempuan, nescaya Allah akan memberi pahala kebaikan dari
setiap mukmin lelaki dan perempuan yang didoakannya." (Hadis Riwayat
al-Thabarani)
8. Sebarkan Kebaikan
Di zaman dunia di hujung jari ini, cukup
mudah untuk kita sebarkan kebaikan. Setiap kebaikan yang kita panjangkan kepada
orang lain, mereka akan mendapat manfaatnya. Jika orang lain mempraktikkan apa
sahaja kebaikan tersebut, kita juga akan mendapat pahalanya.
Seperti sabda
Nabi Muhammad ﷺ:
"Barangsiapa yang mengajak kepada
petunjuk, maka ia akan mendapat pahala orang yang mengikutinya, yang demikian
itu tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun." (Hadis Riwayat Muslim)
Apabila anda mempraktikkan amalan-amalan yang
telah dinyatakan, anda juga mendapatkan pahala-Nya.*
No comments: