Sudah Setahun Dr Adham Di KKM - MyRating

Sudah Setahun Dr Adham Di KKM

 

Ya, sedar tidak sedar sudah setahun berlalu. Cepatnya masa berlalu. Semalam genaplah setahun YB Dato’ Sri  Dr Adham Baba menjadi Menteri Kesihatan. Selepas selesai sahaja angkat sumpah, Dr Adham  terus bergegas ke KLIA dengan berpakaian baju melayu dan lengkap bersampin.


Di KLIA, Dr Adham melihat fungsi Thermal Scanner iaitu alat pengesan suhu badan manusia, sebagai saringan pertama bagi pelawat yang masuk menerusi Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dalam lawatan tersebut. 


Dalam pada masa yang sama YB Menteri Kesihatan turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas media yang banyak membantu KKM dalam menyalurkan maklumat tentang perkembangan COVID-19.


Sehari selepas itu Dr Adham telah membuat satu keputusan yang memberikan impak besar kepada negara dalam mengawal wabak COVID-19  iaitu menutup pintu sempadan negara buat tiga negara iaitu Iran, Korea Selatan dan Itali. 


Malaysia memutuskan untuk menyekat kemasukan semua rakyat Itali, Iran dan Korea Selatan serta warga asing lain yang tiba dari negara berkenaan berkuat kuasa 13 Mac ini.


Langkah itu diambil bagi menyekat penularan COVID-19, yang mana setakat sudah ada 129 kes di Malaysia. Keputusan itu dibuat  Dr Adham ketika lawatan kerja di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek pada 11 Mac 2020. 


Lima hari selepas itu, pada 16 Mac, YAB Perdana Menteri membuat satu pengumuman besar iaitu Malaysia akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP di seluruh negara mulai 18 Mac 2020. 




PKP dibuat mengikut Akta 342, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.


Dalam masa beberapa hari selepas sempadan negara ditutup buat tiga negara, Dr Adham dan pasukannya di tingkat 13 bertungkus lumus mencari solusi jangka panjang dalam memerangi COVID-19. 


Dalam pencarian itu maka terjumpalah Akta 342. Dr Adham sendiri yang mahukan Akta 342 ini digunakan sebagai akta bagi mengawal wabak ini di negara ini. Setelah diyakinkan oleh penasihat undang-undang dan pakar-pakar kesihatan awam, maka Dr Adham terus memperkasakan Akta 342 ini bagi melaksanakan PKP yang kali pertama dilaksanakan dalam sejarah Malaysia. 


Selain itu, pelbagai kaedah dan pendekatan baru digunakan terutamanya dalam pengendalian logistik, sumber manusia dan menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada untuk mengawal wabak ini. 


Termasuklah cetusan idea pembinaan MAEPS yang diilhamkan Dr Adham sendiri. MAEPS dibina dan disiapkan dalam masa beberapa hari sahaja. Ianya suatu pembinaan yang pantas dan cekap melibatkan kolaborasi semua agensi dan pihak. Ini satu pembinaan yang amat menakjubkan dalam sejarah Malaysia. 



Akta 342 ini begitu berkesan. Sehinggalah wabak ini berjaya dikawal dalam gelombang kedua bila kes penularan tempatan kosong pada 8 Julai 2020. Bermula dari hari pertama sehinggalah ke setahun keberadaannya di KKM, Dr Adham dan pasukannya terus bekerja untuk melawan wabak ini dalam gelombang ketiga selepas itu sampailah sekarang. 


Rutinnya bermula seawal pagi lagi, meneliti semua dokumen dan laporan mengenai COVID-19, lihat satu persatu kluster yang baru dan yang telah ditutup, lihat satu persatu-satu kesiapsiagaan hospital dan klinik KKM, teliti dokumen berkaitan akta dan ordinan serta bermesyuarat dengan CPRC, MKN, JKAV dan melakukan lawatan kerja ke fasiliti PKRC, kilang, hospital untuk melihat sendiri situasi yang berlaku bersama-sama dengan barisan hadapan KKM dalam memerangi COVID-19. 


Bukan senang hendak menang melawan COVID-19 namun usaha ini perlu dilakukan untuk membolehkan semua rakyat Malaysia bebas daripada wabak COVID-19 ini.


Kini Malaysia sudah 17 hari dalam proses vaksinasi fasa pertama kepada rakyat. Hari kelima berturut-turut juga kes COVID-19 telah berada di bawah angka 2,000. Sudah 223, 923 orang menerima vaksin di Malaysia. Selamat maju jaya Dr Adham, insyallah #KitaMestiMenang



 

No comments:

Powered by Blogger.