Keyakinan Dunia Arab Kembali, Perjanjian Bernilai RM70 Billion Buat Malaysia - MyRating

Keyakinan Dunia Arab Kembali, Perjanjian Bernilai RM70 Billion Buat Malaysia

 



Setelah apa yang berlaku pada Mei 2018, banyak pelaburan yang sepatutnya hadir ke negara ini tidak menjadi akibat pertukaran kerajaan. Beberapa keputusan tidak bijak seperti penutupan Pusat Keamanan Raja Salman di Putrajaya dan keputusan memanggil pulang satu pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Arab Saudi telah menghakis keyakinan dunia Arab pada Malaysia pada ketika itu.

 

Malaysia yang sebelum ini menikmati berbillion pelaburan daripada dunia Arab terlepas peluang. Hubungan diplomasi terjejas, bila beberapa lawatan rasmi turut dibatalkan. Pada awal tahun 2020, Emiriah Arab Bersatu (UAE) melabur sejumlah 314.9 trilion rupiah (RM93.5 bilion) merangkumi pelaburan dalam tenaga dan sektor lain di Indonesia. Semua ini berlaku di zaman Pakatan Harapan (PH).


 

Segalanya bertaut kembali bila kerajaan bertukar. YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah melakukan lawatan rasmi ke Qatar (27-29 April) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 29-31 April. Selesai lawatan rasmi tiga hari ke Qatar, Perdana Menteri singgah ke Dubai bagi menyaksikan beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani. Perkembangan positif ini adalah tanda keyakinan dunia Arab sudah kembali kepada Malaysia.

 

Di UAE, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengunjungi Ekspo 2020 Dubai. Pada awalnya Malaysia menetapkan untuk mencapai antara RM8 bilion sehingga RM10 bilion potensi peluang perdagangan, pelaburan dan business leads. Melangkaui sasaran, Malaysia berjaya menandatangani MoU bernilai RM70 bilion setelah menganjurkan 26 program.

 

Komitmen kerajaan dalam membantu, menyokong dan memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat dilihat melalui Ekspo 2020 Dubai ini, dengan kos yuran penyertaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Mahu membuka peluang meneroka peluang-peluang baharu, kerajaan berharap PKS menggunakan kesempatan ini untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat global.

 



Perdana Menteri turut berkesempatan menghadiri Majlis Penutup Sidang Kemuncak Kerajaan Sedunia (World Government Summit) pada 30 Mac. Di tempat yang sama, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob turut mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden yang juga Perdana Menteri dan Pemerintah Dubai iaitu Yang Mulia Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.

 

Bukan pertemuan biasa, genggaman erat dan pengharapan daripada  Yang Mulia Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum terhadap Malaysia amatlah tinggi. Yang Mulia Sheikh Mohammed Rashid menyatakan komitmen UAE untuk meneruskan kerjasama erat dengan Malaysia dalam pelbagai sektor strategik di Malaysia. Selain itu, Yang Mulia Sheikh Mohammed Rashid memuji model pembangunan ekonomi di Malaysia yang membolehkan Malaysia menjadi antara negara terpenting di rantau ini.

 

Kehadiran Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ke UAE ini memberikan impak positif atas jenama Malaysia terutamanya di Ekspo 2020 Dubai yang mengumpulkan 192 negara dan organisasi antarabangsa. Malaysia dapat menyerlahkan potensi kepada negara-negara luar dalam bidang teknologi, inovasi dan berkongsi idea baharu.

 

Seperti lawatan-lawatan ke negara lain, Perdana Menteri turut meluangkan masa mengadakan pertemuan bersama Keluarga Malaysia di sana. Terdapat 6,000 rakyat Malaysia di UAE yang bekerja dalam bidang profesional terutamanya minyak dan gas serta penerbangan. Dalam perjumpaan itu beliau berkongsi pengalaman, idea dan aspirasi negara kepada semua hadirin.

 

Keyakinan sudah kembali. Pemimpin sudah berjaya mencari peluang pelaburan dari luar untuk dibawa pulang ke negara ini. Nikmatnya nanti bila rakyat mendapat kerja dan manfaat perniagaan daripada pelaburan tersebut.

 

Apa yang penting sekarang sebagai seorang rakyat Malaysia yang patriotik, marilah kita bersama-sama membantu pemimpin dan kerajaan yang sedia ada untuk sama-sama memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat setelah dua tahun berdepan COVID-19.

 

 

 

No comments:

Powered by Blogger.