Dari Seorang Akauntan Menjadi Wakil Rakyat? - MyRating

Dari Seorang Akauntan Menjadi Wakil Rakyat?

 


PRU15 ini khabarnya akan diwarnai oleh ramai muka muka baharu dan profesional daripada segenap bidang. Barisan Nasional (BN) yang paling berani bila umumkan 70% calonnya terdiri daripada muka baharu. 


Dari parlimen Padang Besar (PO1) hingga ke parlimen Lawas (P222), BN akan bariskan sekurang-kurangnya 155 orang (70%) muka baharu. Jika 70% ini termasuk kerusi DUN di Perlis (15 kerusi), Pahang (42 kerusi) dan Perak (59 kerusi), mungkin jumlahnya akan jadi 237 (70%) orang calon, kesemuanya muka baharu. 


Bak kata pantun Melayu;


Kalau mencari tempat mandi,

Pertama teluk kedua pantai;

Kalau mencari pemimpin di hati,

Pertama elok kedua pandai.


BN tengah melakukan proses tapisan calon yang ketat. Dari cawangan, bahagian, negeri seterusnya hingga ke peringkat Pusat. Calon yang dipilih, ditapis, disaring dan yang terbaik akan menjadi pilihan parti.


Tatkala dunia sedang hadapi krisis ekonomi global, Malaysia memerlukan pemimpin yang pandai, berpengalaman dan tahu selok belok ekonomi. Cabaran mendatang adalah ekonomi dan alam sekitar. Cabaran yang dihadapi semua manusia selepas pandemik COVID-19. 


Dalam kalangan orang muda, yang mahir, berpengalaman dan punyai praktis dalam dunia ekonomi adalah Dato' Mohd Nizar Najib, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pekan. Beliau yang lebih mesra disapa dengan panggilan Dato' Jaja, dikatakan orang yang disebut-sebut untuk mengisi kerusi parlimen Pekan.


Masih muda, ada tenaga dan sudah berpengalaman selama 18 tahun sebagai seorang akauntan adalah wibawa yang kuat untuk membawa Dato' Jaja sebagai salah seorang pemain utama dalam kabinet kerajaan yang akan datang. 


Selari dengan tema kestabilan dan kemakmuran yang dibawa oleh BN, kestabilan hanya akan dapat dinikmati bila keadaan politik dan ekonomi berada dalam situasi yang stabil. Keadaan inilah yang akhirnya akan membawa kemakmuran kepada seluruh rakyat.


Adalah satu kerugian buat negara, jika Dato' Jaja hanya diletak sebagai pemain di peringkat DUN sahaja kerana dengan pengalaman kerjayanya itu ianya boleh dimanfaatkan untuk negara ini. 




Jika dilihat pengalmannya, Dato' Jaja telah 18 tahun pengalaman bekerja sebagai seorang konsultan dalam sektor khidmat nasihat kewangan (financial advisory) dengan sebuah syarikat antarabangsa “Big 4”. Telah berkhidmat dengan syarikat antarabangsa, syarikat milik kerajaan (GLC) serta syarikat swasta. 


Amat bertenaga dan sesuai untuk kerajaan stabil memiliki seorang yang berpengalaman luas dalam memastikan ekonomi yang makmur dan sejahtera untuk rakyat. Antara ramai-ramai calon muka baharu yang boleh diketengahkan untuk kerusi parlimen, rasanya Dato’ Jaja harus diberi peluang. 


Barisan Nasional kali ini akan berhadapan dengan sejumlah 10.6 juta pengundi muda. Jika dilihat pada lawan BN iaitu PN, PH dan GTA, mereka tampil dengan ramai muka-muka baharu. Adalah rugi jika BN tidak ketengahkan calon yang baharu dan penuh pengalaman professional ke kerusi parlimen. Di parlimen lah, dasar dan polisi untuk negara akan digubal, dibahas dan diluluskan. 


Perlu orang yang pandai untuk tugas ini. Ekonomi adalah musuh utama yang perlu diatasi oleh kerajaan akan datang. Wajib orang yang sesuai untuk tugas yang besar ini. Gabungan antara semua professional inilah yang akan menjadikan misi Kestabilan dan Kemakmuran BN menjadi suatu realiti bila jadi kerajaan nanti.


No comments:

Powered by Blogger.