Penjaring Gol Malaysia Di Olimpik Sudah Meninggal Dunia - MyRating

Penjaring Gol Malaysia Di Olimpik Sudah Meninggal Dunia



Salam Takziah Buat Keluarga Allahyarham Salleh Ibrahim


Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghulurkan salam takziah kepada keluarga bekas pemain kebangsaan, Salleh Ibrahim, yang menghembuskan nafas terakhirnya hari ini pada usia 72 tahun.

Allahyarham Salleh meninggal dunia pada jam 12.30 tengah hari di kediamannya dipercayai akibat penyakit bengkak hati selepas menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu selama seminggu. Jenazah disembahyangkan selepas solat Asar di Masjid Pengkalan Chepa dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Landak, Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Zainon Abdullah dan enam anak.

Dikenali sebagai pemain kental di penjuru sayap, Salleh, anak kelahiran Kedai Ketereh, Kelantan, adalah antara wira negara di Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman, dengan menyumbang gol kedua pada minit ke-61 ketika Malaysia menewaskan Amerika Syarikat 3-0 di Ingolstadt pada peringkat kumpulan.

Bakatnya dikesan setelah memberanikan diri berhijrah ke Singapura pada usia 18 tahun untuk bekerja sebagai anggota tentera British berpangkalan di Alexander Road.

Nama Allahyarham meniti di bibir peminat selepas berkhidmat dengan Jabatan Penjara Malaysia pada awal 70-an apabila diberi peluang beraksi di sisi Syed Ahmad Abu Bakar, Shaharuddin Abdullah, Wan Zawawi Wan Yusoff, V Krishnasamy dan Namat Abdullah, individu-individu yang membentuk teras pasukan kebangsaan.

Allahyarham yang selesa beraksi sama ada di sayap kanan atau kiri, mewakili Kelantan dari 1963 hingga 1972 selain Perak dari 1973 hingga 1980.

Kemuncak kerjaya Allahyarham tentu sekali apabila berganding bahu dengan Shaharuddin Abdullah dan Looi Loon Teck selaku tiga serangkai serangan negara di Munich 1972. Bahkan namanya terakam dalam sejarah sebagai seorang daripada hanya tiga pemain negara yang menjaringkan gol di Sukan Olimpik.

Semoga Allah SWT merahmati dan mengampuni dosa roh Allahyarham Salleh serta meringankan musibah keluarganya. Aamiin.

No comments:

Powered by Blogger.