Enggan Sebut "Gelandangan", Menteri Hantar Mereka Sampai Naik Bas
Betapa terharunya 39 orang gelandangan hari ini bila mereka mendapat kerja di Setiawan, Perak. Tidak dipanggil sebagai gelandangan, Menteri membahasakan mereka sebagai saudara. Lebih memilukan, Menteri sanggup hantar mereka sehingga naik pintu bas.
Sambil tangan dirapatkan ke dada, anak mata memandang setiap wajah mereka, Menteri ini tunduk memberikan salam perjuangan di tangga bas.
Pada majlis ringkas hari ini, Tan Sri TPr Haji Annuar bin Haji Musa, Menteri Wilayah Persekutuan melakukan pelepasan 39 gelandangan ke Setiawan, Perak untuk memulakan kehidupan baharu dengan bekerja di Harumi Brands Sdn Bhd.
Kata Annuar, ketika ini sembilan syarikat bersetuju untuk menawarkan pekerjaan kepada hampir 300 gelandangan.
Antara syarikat itu ialah Consumer Industries Sdn Bhd, Hartalega NGC Sdn Bhd, Top Glove Sdn. Bhd, Tesco Malaysia dan Trendcell Sdn Bhd.
Ketika berucap sebelum pasukan pertama ini berlepas ke Perak, Annuar Musa enggan menggunakan istilah ‘gelandangan’, sebaliknya lebih selesa menggelar golongan itu dengan panggilan ‘saudara’.
“Ini adalah kumpulan pertama, akan ada lagi selepas ini. Esok Top Glove. Apa yang saya lihat di sebalik musibah pandemik Covid-19 ini, kita sebenarnya secara keseluruhan telah ditakdirkan untuk melihat sendiri secara dekat permasalahan yang di hadapi.
“Seperti ketiadaan peluang pekerjaan selain daripada masalah-masalah lain.
“Saya tidak mahu menyebut istilah gelandangan, saya hanya anggap ianya sebagai satu peristiwa dalam perjalanan hidup kita kemudian datang pula Covid-19 menyerang sehingga memberi peluang kepada kita menyelami satu persatu permasalahan ini.
“Dengan bantuan agensi-agensi lain seperti JTK, JKM, ATM, PDRM, Perkeso, DBKL dan banyak lagi, kita pilih penyelesaian bukan untuk sehari dua sahaja untuk kumpulan mereka ini, sebaliknya satu penyelesaian menyeluruh.
“Terima kasih saya ucapkan khasnya kepada NGO-NGO yang banyak menabur bakti menyediakan makanan untuk saudara-saudari ini untuk sekian lama, kali ini kita lebih ke hadapan, kita bawa mereka kepada kehidupan baharu, lebih baik. Ada kerjaya sendiri,” katanya penuh emosi.
Jelas Annuar, semua syarikat tersebut akan menyediakan kemudahan tempat tinggal, mematuhi Perintah Gaji Minimum 2020 serta peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Kerja 1955.
Dalam pada itu, beliau meminta mereka yang mendapat tawaran bekerja itu supaya lebih fokus dan sentiasa berfikir untuk memajukan diri masing-masing.
“Bekerjalah baik-baik, janganlah kerja luar KL dan lupa kepada yang sini. Sesekali baliklah. Jangan sia-siakan peluang ini, bukan selalu datang seperti ini, saya doakan yang terbaik untuk kalian.
“Saya ada membeli baju raya untuk anda semua, anggaplah ole-ole dari saya. Semoga Ramadan juga juga memberikan keberkatan dan nikmat kepada kita semua,” ujarnya.
Annuar berkata, daripada 800 gelandangan yang ditemui sekitar Kuala Lumpur ketika saringan Covid-19 lebih 500 orang adalah produktif dan memiliki kelebihan untuk bekerja dengan baik.
“Seramai 300 orang kita hantar kepada sembilan syarikat ini, bakinya pula kita akan latih sebelum diserap kerja dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Ada juga yang uzur dan tua, kita hantar ke JKM manakala bakinya warga asing kita serah kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan susulan,” ujarnya.
No comments: