FAM Alu-Alukan Saintis Penyokong Manchester United Ini Untuk Berkhidmat Di Malaysia
Pernah kerja dengan Liverpool tetapi hatinya masih lagi fan Manchester United. Menerusi satu semakan yang dibuat di Facebook akaunnya pada tahun 2015, Firdaus memuat naik gambarnya memakai jersi pasukan seteru kuat Liverpool iaitu Manchester United. Ini gambarnya dengan jersi Manchester United...
Dia dapat kerja di Akademi Aspire pun sebab pengalamannya dengan Liverpool. FAM pun dah beri pandangan dan alu-alukan jika Firdaus mahu membantu Harimau Malaya suatu hari nanti.
"Gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk mengutip sebanyak mungkin ilmu yang boleh!"
Itu harapan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada saintis sukan di Akademi Aspire, Mohd Firdaus Maasar dengan badan induk itu jelas berbesar hati apabila Firdaus bersedia membantu pembangunan bola sepak negara pada masa akan datang.
Timbalan Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, bola sepak negara sudah tentunya memerlukan individu seperti Firdaus yang memiliki kepakaran dalam bidang sains sukan bola sepak namun adalah lebih baik jika dia terus menuntut ilmu di luar negara buat masa ini.
"Kita mengalu-alukan Firdaus untuk berkongsi pengetahuannya dan melihat kepada profilnya pun, kita tahu dia memang berkebolehan apabila pernah bekerja di Liverpool dan kini di Akademi Aspire.
"Kalau dia (Firdaus) sudi membantu kita dengan pengetahuannya, sudah tentu kita boleh bekerjasama untuk merealisasikan menerusi sesi perkongsian atau apa cara yang dirasakan wajar.
"Tak kira sama ada secara langsung ataupun tidak langsung, saya lihat ada ruang untuk kita adakan perbincangan mengenai kerjasama ini pada masa akan datang.
"Cuma pandangan saya buat masa ini, biarlah dia fokus dengan kerjanya di sana dan menuntut sebanyak mana pengetahuan yang boleh. Apabila dia bersedia sepenuhnya untuk pulang ke Malaysia nanti, kita memang mengalu-alukan bantuannya," katanya.
Kelmarin, BH Sukan melaporkan Firdaus yang juga bekas penuntut Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu 'meninggalkan' gergasi bola sepak England, Liverpool untuk menyertai akademi pembangunan terkemuka dunia, Akademi Aspire di Qatar.
Jelasnya, peluang untuk bersama sama pelbagai pakar sains sukan daripada seluruh dunia di bawah satu bumbung menyebabkan dia tidak perlu berfikir panjang untuk menerima tawaran akademi terbabit.
Meskipun ketika ini gembira untuk berkhidmat di akademi itu sejak November lalu namun Firdaus tidak menolak kemungkinan untuk mencurah bakti bersama pasukan di negara ini pada masa akan datang.
"Sejauh mana pun saya merantau, impian terbesar saya adalah untuk bersama membantu membangunkan bola sepak Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi.
"Jika suatu hari nanti bola sepak Malaysia sudah bersedia untuk menerapkan aspek sains bola sepak secara serius, saya berbesar hati untuk membantu secara langsung atau tidak langsung," katanya.
No comments: