Profesor Dari Amerika Syarikat, John Nash Houchen Pilih Malaysia Untuk Peluk Islam
GEORGETOWN – Tertarik dengan
isi kandungan al-Quran membuatkan seorang profesor dalam bidang ekonomi, John
Nash Houchen, 56, dari Kentucky, Amerika Syarikat memilih Islam sebagai jalan
hidup.
Beliau yang pernah mengajar di
Universiti Winconsin telah mengkaji mengenai agama Islam sejak sekian lama
terutama daripada rakan-rakan rakyat Malaysia yang pernah menuntut di
universiti berkenaan.
Bermula dari situ, John Nash
pertama kali berkunjung ke Malaysia pada tahun 2019 untuk mengenali agama Islam
selain budaya penduduk di negara ini, sebelum pulang semula ke Amerika
Syarikat.
Hasratnya
untuk kembali semula ke Malaysia tertangguh lebih dua tahun berikutan penularan
Covid-19.
“Apabila
sempadan negara dibuka, saya terus ambil kesempatan untuk kembali semula ke
Malaysia.
“Semasa
dalam penerbangan ke Malaysia, saya sempat mendengar alunan bacaan al-Quran
berserta terjemahannya.Hati saya semakin tertarik dengan isi kandungan al-Quran
itu.
“Sebaik
sahaja menjejakkan kaki di Malaysia, saya nekad dan yakin untuk memeluk Islam
dengan menghubungi kenalan rakyat Malaysia yang ada untuk membantu saya,”
katanya.
Majlis
ucapan syahadah itu dikendalikan oleh Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Ummah
Takaful (MyIKUT), Zolkifly Md Lazim di Pejabat Pesuruhjaya Sumpah Yuyun, Bandar
Perda, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah pada Isnin.
John
Nash mengakui sebaik selesai mengucapkan syahadah, hatinya kini rasa lebih
tenang dan tenteram.
“Perasaan
tenang dan tenteram ini tidak pernah ada, ia datang tiba-tiba. Saya rasa lega,”
katanya.
Mengulas
lanjut mengenai keputusannya memeluk Islam, John Nash berkata, antara faktor
beliau memilih Islam ialah kerana keikhlasan penganutnya termasuk apabila
berhadapan dengan orang bukan Islam.
“Sejak
mengenali ramai penuntut beragama di Amerika Syarikat termasuk dari Malaysia,
saya dapati mereka ini ikhlas dalam kehidupan termasuk ketika membantu penganut
agama lain dan sebagainya.
“Dari
situlah minat saya untuk mengkaji agama Islam bermula,” katanya.
John
Nash berkata, beliau kini berhasrat untuk terus menetap dan menjalani
kehidupannya di Malaysia selepas baru sahaja bersara sebagai tenaga pengajar di
universiti di Amerika Syarikat.
“Saya
ucapkan terima kasih kepada semua termasuk MyIKUT. Selain tenang, gembira,
teruja, saya kini merasakan ada kekuatan dalam diri untuk terus menjalani
kehidupan yang akan datang,” katanya.
Sementara
itu Zolkifly berkata, pihaknya menerima permintaan daripada penduduk untuk
membantu John Nash memeluk Islam.
“MyIKUT
akan sentiasa membantu golongan mualaf. Mereka yang telah peluk Islam kita akan
pantau dan jika ada keperluan seperti bantuan, nasihat dan sebagainya, MyIKUT
sentiasa ringan tulang,” katanya.
Sumber
: Sinar Harian
No comments: